Monday, May 26, 2008

Separuh Tahun

2 comments


Rentetan Separuh Tahun

Satu
Pandangan jauh itu sampai ke titik akhir. Seluas hamparan yang membentang. Tenang dan damai dalam hati. Ingin lepaskan resah yang membeku sekian lama. Sesekali puput bayu itu singgah menerpa pipi. Basah. Tempiasnya sangat menyegarkan. Mampukah aku bertahan perasaan?

Dua

Bayangan kian kelam. Merona mentari jingga di ufuk barat. Menenggelamkan rasa yang masih tersisa ini. Justeru, langkah semakin lemah mengekori usia masa. Pilu menemani setiap ruang rindu. Sudahkan juga, meski kian dipaksa untuk bermimpi dalam kenangan yang lalu. Mampukah aku bertahan perasaan?

Tiga

Bersilih ganti suka dan duka. Seakan tidak pernah kunjung padam. Aku hanya membisu mengunci kata-kata. Hendak diluah, tiada erti. Jawapannya lesu. Aku diapung harapan. Sampai masa ke mana arah aku pergi? Mampukah aku bertahan perasaan?

Hanya di sini aku mampu berbicara. Kerna aku yakin tiada juga jawapan untuk ini. Sudah separuh tahun rupanya aku di sini.

Friday, May 23, 2008

Kehilangan

4 comments

Kelibat dia tiada pagi semalam. Hairan ke mana pulak pergi. Lazimnya dia yang paling awal sampai. Pakcik Mie staff baru di kantor ini. Baru sebulan dia berkhidmat. Dia ditempat dibahagian iventori. Selalunya ada sapaan dari dia tiap pagi. Datang ke cubical aku bertanya khabar. Semalam tidak seperti biasa.

“Ada nampak Pakcik Mie tak?” Tanya aku pada Kak Mira. “Eh! Encik tak tau ke?. Pakcik Mie dah resign. Semalam dia last day. Ambil 24 hours notice. Dia kirim salam kat Encik dan minta maaf tak dapat jumpa Encik semalam”, terang Kak Mira.Terlopong. Terduduk aku saat itu. Rasa terkilan teramat sangat. Tidak dapat jumpa hari terakhir dia semalam.

Aku dan Pakcik Mie agak rapat semenjak dia mula berkhidmat. Aku banyak terhutang budi dengan dia. Dia lah yang membantu mengubati aku dari sakit misteri itu. Sekarang dengan izin Allah aku sihat dan pulih seperti biasa. Tiga kali rawatan secara berturut, sangat terkesan sekali. Bersyukur aku telah ’lepas’ dari sengsara itu.

Tapi kenapa dia tergesa-gesa berhenti?. Tidak pernah pula dia mengadu masalah, malah gembira katanya bekerja di sini. Cita-citanya mahu membawa anak dan isteri tinggal bersama. Keluarganya berada di Kelantan dan akan berhijrah tidak lama lagi setelah mendapat rumah di sini. Adakah disebabkan bebanan kerja? Mungkin juga masalah dalaman yang aku tidak ketahui. Aku perlu tahu mengapa. Hairan dan pelik.

Rasa terkilan masih menebal. Nasihatnya tidak pernah putus kepada aku. Ibarat seorang bapa. Aku sendiri memanggilnya Ayah Mie. Aku masih ingat lagi kata-kata dia dalam loghat Kelantan yang pekat:

“Ada sebab mengapa Allah aturkan hidup kita. Mengapa Ayah Mie bekerja sini dan adik sakit begini. Dengan ilmu yang Allah beri, Ayah Mie boleh tolong adik. Alhamdullilah adik sihat sekarang. Syukur kembali semangat buat kerja.”

Ada satu kenyataan lagi dari Ayah Mie yang tidak akan aku lupa sepanjang hidup. Namun biarlah ianya menjadi rahsia peribadi. Tidak terungkai di sini. Sesungguhnya ianya sangat-sangat terkesan dalam lubuk hati aku. Ya, Ayah Mie, aku telah menjauhi perkara itu!.

Kehilangan. Aku sangat rasa kehilangan...

Wednesday, May 21, 2008

Probiotic Chocolate

4 comments


Anda pernah dengar tentang probiotik? Apa yang aku faham semasa aku mengaji dulu, probiotik ini adalah sejenis suplemen diet yang mengandungi bakteria berguna dengan LAB (lactic acid bacteria) sebagai mikrob. Ia mampu mengubah laktosa dan karbohidrat lain menjadi acid lactic. Pengunaanya banyak digunakan dalam proses fermentasi dan ianya mampu mengurangkan pH.Umumnya probiotik dapat dijumpai dari spesis genera Bifidobacterium dan Lactobacillus.

Itu serba sedikit pengenalan tentang probiotik. Aku terpaksa membuka kembali buku mikrobiologi untuk mengingat kembali faktanya. Ada kisahnya disini. Aku ingin membuat sedikit promosi tentang Probiotic Chocolate yang baru sahaja didapati dipasaran. Produk yang sangat baik dan berguna untuk mereka yang sedang berdiet.

Probiotic Chocolate ini boleh dimakan oleh semua peringkat umur. Tidak terhad kepada sesiapa. Rasanya juga sangat enak dan berkhasiat dan dihasilkan melalui proses formula bioteknologi. Ini adalah salah satu perbezaan dengan coklat-coklat yang berada dipasaran. Antara khasiat yang terkandung dalam Probiotic Chocolate ini ialah:

1. Mengandungi bakteria berguna untuk kesihatan
2. Mengawal denyutan jantung
3. Mengimbangi diet
4. Membersihkan usus

Ramuan:
Serbuk Koko, Mentega Koko, Gula Likor Koko, Susu Tepung Penuh Krim, Pengelmusi (Lesitin Soya E22, E476), Vanilin Sebagai Bahan Perisa, Kacang Badam, Probiotik.

Harga:
Semenanjung Malaysia: RM 45.00
Malaysia Timur: RM 49.50

Aku sedang mengamalkan makan coklat ini. Untuk kesihatan jantung dan diet. Makan hanya sebiji sahaja sudah berasa kenyang!. Anda mahu cuba?

Tentang Dia

2 comments


Kosong dan lompong. Entah mengapa. Tidak seperti lazimnya. Mungkin sudah bosan dengan kerenah dunia yang pelbagai ragam. Hakikatnya diri letih dan lelah dengan semua kejadian menimpa diri. Pelik dan aneh. Satu persatu kesihatan diragut kesakitan. Tabah jua meski diri diheret dengan pelbagai musibah.

Andai dapat diputar kembali masa yang berlalu, dialah manusia yang sangat beruntung. Dia yakin semua orang inginkan begitu. Namun kudrat manusia apalah dayanya. Maha suci Allah swt jua sempurna sifatnya. Optimis dan positif. Dia cuba berada dalam lingkungan hidup bermotivasi. Diri sendiri juga yang perlu mengaturkan. Tuntutan hidup sebegini membuatkan dia lebih dewasa, tegar dengan onak dunia.

Kronologi ini dia pinginkan kehabisan. Lepaskan segalanya. Dia rungkai semuanya demi impian hidup yang lebih sempurna dan diberkati. Apa juga sengsara, musibah, nista, kesakitan yang membelenggu biarlah menjauh pergi.

Pandangan dia jauh. Sejauh hatinya berkelana..

Fermentas08 – Putrajaya

Thursday, May 15, 2008

Kurus

10 comments


“Kau kurus sekarang dah!”, tegur seorang teman. Kali terakhir ketemu dia Disember tahun lalu. Rata-rata teman dan sahabat memberitahu aku semakin kurus dan perut pun tidak buncit lagi. Ya, aku memang kurus sekarang. Dalam tempoh masa tiga bulan sudah 10 kg berat badan aku susut. Dari 75 kg sekarang sudah 65 kg!. Nah satu perubahan yang drastik. Tidak pernah aku sekurus ini. Semua orang tanya aku, bagaimana boleh kurus. Di bawah ini aku senaraikan tips yang aku amalkan. Alhamdulillah badan rasa lebih segar, sihat dan berkeyakinan semenjak kurus begini.

1. Tidak makan daging merah (daging lembu)
2. Tidak minum ais. Lebihkan minum air suam (Elak perut dari buncit)
3. Sarapan seperti biasa (meehon, mee, kuih)
4. Makan tengahari (nasi sesenduk, lebihkan sayur, elak makanan berminyak dan berlemak)
5. Makan malam (tidak ambil nasi dan makan awal sebelum pukul 8)
6. Nasi lemak dan roti canai sebulan sekali
7. Senaman seminggu sekali selama 3 jam tanpa henti (jogging/dance). Sampai keluar
peluh yang banyak.
8. Swimming dan workout di gymnasium bila kelapangan.

Ringkas sahaja dan tidak memudaratkan kesihatan. Aku tetap makan seperti biasa, cuma makanan diambil dalam kuantiti yang sedikit dan sekadar cukup kenyang sahaja. Senaman juga tidak lupa.

Kesan-kesan akibat kurus yang aku alami:

1. Dahulu saiz seluar 34w, sekarang 31w – Semua seluar sudah longgar.
2. Dahulu saiz baju M/L, sekarang S pun dah boleh pakai.
3. BMI sebelum 23.93, BMI selepas 20.74. Cara pengiraan BMI seperti berikut:

BMI = Berat (kg)
-------------------------
(Tinggi (m) X Tinggi (m))

BMI = 65 kg
-------------------------
(1.77 m X 1.77 m)

=
20.74

Body Mass Index (BMI) merujuk kepada kadar berat berbanding ketinggian, atau isipadu seseorang.

1. Bawah 18.5 kurang berat
2. Antara 18.5 - 22.9 berat yang sihat
3. 23 hingga 27.4 agak lebih berat
4. 27.5 dan keatas gemuk / obes


Ada juga cerita-cerita nakal disebalik ’kekurusan’ aku ini. Ada yang mengatakan aku mengambil dadah dan pil kurus. Aduh! aku hanya mampu tersenyum dan ketawa sahaja mendengar omongan ini.

Moga mungkin juga boleh menjadi ilham kepada anda untuk kurus selepas ini. Dapatkan berat ideal idaman anda!

Wednesday, May 14, 2008

Selamat Hari Lahir Wahai Bonda

2 comments



Bermakna buatmu wahai bonda tercinta. Anak mu hadiahkan kalungan doa sejahtera di hari ulangtahun kelahiranmu (14 Mei). Puisi indah lahir dari perdu hati anak mu ini. Khas buat tatapan Hjh. Sariah Bt Dahalan.

Duhai Bonda

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai bonda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Tuesday, May 13, 2008

Kahwin Oh Kahwin

4 comments


Hujung bulan ini musim cuti sekolah. Ramai orang menggunakan masa ini untuk memilih tarikh untuk mendirikan rumahtangga. Bagus juga jika dilangsungkan pada musim cuti sekolah sebegini. Memudahkan kaum keluarga dan sahabat handai untuk datang bersama memeriahkan majlis.

Bercerita mengenai majlis kenduri kahwin ini, aku telah dijemput untuk menghadiri sebanyak sepuluh undangan. Terdiri daripada teman, sahabat dan kaum keluarga yang bakal bergelar raja sehari. Pening juga untuk menghadiri majlis sebanyak ini. Ada pertindihan tarikh dan tempat yang agak jauh. Mungkin ada yang berkecil hati jika aku tidak dapat hadirkan diri. Tetapi bagi aku ingatan itu yang penting. Terima kasih kerana sudi mengundang. Aku hargai. Aku guguskan ucapan Selamat Pengantin Baru kepada mereka-mereka ini. Moga berbahagia dan melayari bahtera rumahtangga dengan aman damai.

1. Sepupu : Al-Mustaqim Billah dan pasangan - Tapah
2. Sahabat : Mohd Hafiz Kassim dan pasangan - Ipoh
3. Sahabat : Hafiz dan pasangan - Kulim, Kedah
4. Sahabat : Mohd Zuhaidy dan pasangan - Tropicana Resort, Petaling Jaya
5. Sahabat : Jua & Boy - Pulau Pinang
6. Sahabat : Nik Nazrul dan pasangan - Kelantan
7. Sahabat : Ameer Agus dan pasangan - Shah Alam
8. Sahabat : Intan & Jai - Melaka
9. Sahabat : Ryil & Sue - Teluk intan
10. Sahabat : Nadia dan pasangan - Banting

Malam hari memasang pukat,
Menjala ikan di tepian titi,
Cinta disatu janji diikat,
Kekal rukun damai dihati

Aku bila pula? He..he..Insyaallah tunggu sahaja nanti :)

*Bulan ni gemuk la aku. Makan nasi minyak sahaja.

Monday, May 12, 2008

Geli Perut vs Geli Mat

4 comments

Aku rasa terpanggil untuk menulis entri ini. Kisahnya begini. Rakan serumah aku suka sangat dengan klip video ini. Terbahak-bahak ketawa dia tiap kali menonton. Diulang-ulangnya tanpa jemu. Aku sendiri bagai mahu pecah perut bila menonton buat pertama kali. Aku sertakan video klip tersebut yang aku curi dari Youtube. Enjoy!!




Bagaimana? Senak perut? Aduh, aku pasti ada yang tidak tahan dengan adegan dan lirik yang dipaparkan. Pada sahabat itu, aku telah abadikan klip video favourite mu ke dalam blog aku ini.

Sibuk

2 comments


Sibuk dan penat memasung diri sepanjang minggu lepas. Satu persatu kerja last minute perlu disudahkan. Bukan kerja aku, kerja orang lain. Tapi bagi aku ini bukan masalah besar. Bagus juga, sudah lama tidak sesibuk ini.

Mujur tubuh kembali segar dan beransur sihat. Dua kali rawatan diberikan oleh Pak Mie, Alhamdulillah banyak perubahan yang berlaku. Badan kembali berdaya melakukan kerja. Syukur dengan nikmat yang Allah berikan. Rasa lepas segala lelah yang bertapa sekian lama dalam diri ini.

Kesibukan ini juga, aku berjaya melupakan segala derita perasaan yang aku tanggung. Perit itu sudah langsai, dan aku benar-benar dalam keadaan tenang sekarang. Pengajaran yang terbaru ini benar-benar merubah hidup aku. Terima kasih sahaja yang terdaya aku ungkapkan. Terima kasih juga kepada P yang sentiasa berikan kata dorongan. Kehadiran P banyak membantu. Aku sangat hargai.

Minggu ini rasanya sibuk lagi. Buat sahabat di Damansara kita ketemu nanti. Tag soalan mu belum sempat dijawab. Maaf ya. Aku janji akan membalas.

Monday, May 5, 2008

Merawat Luka Yang Terpendam

2 comments


Hargai apa yang kita miliki sekarang. Ya, dia berpegang kepada kata-kata itu sekian lama. Yang sudah berlalu itu biarkan berlalu. Apa guna lagi mengharap bila rasa itu sudah menjauh pergi dari diri dia.

Dahulu dia ibarat pengemis. Seolah melukut ditepian gantang. Kasihan. Malu sendiri. Tapi apakan daya takdir dia berjumpa lagi insan sebegitu. Tebar la sebanyak mana pun kasih sayang yang ada. Namun pulangannya hampa. Hanya meraih kasih simpati. Malah berbekas kesan luka dan perit. Terasanya sehingga kini. Parutnya masih muda. Tidak mahu berdarah kembali.

Kosong. Tiada apa yang tertingggal. Sisanya pun sudah lenyap. Hilang entah kemana. Seminggu dia berkelana. Merawat luka yang terpendam. Terima qada dan qadar Tuhan. Sepi itu seakan menjawab segala persoalan. Tiap yang berlaku ada hihmahnya. Yang pastinya pengalaman itu mendewasakan. Tekadnya hanya satu. Jalani kehidupan baru. Fasa ini, akan merubah segalanya.

Friday, May 2, 2008

Kesepian

1 comments


Kesepian - Dygta
kurindu disayangi
sepenuh hati
sedalam cintaku
setulus hatiku

kuingin memiliki
kekasih hati
tanpa air mata
tanpa kesalahan

bukan cinta
yang melukai diriku
dan meninggalkan hidupku
lagi

tolonglah aku
dari kehampaan ini
selamatkan cintaku
dari hancurnya hatiku
hempaskan kesendirian
yang tak pernah berakhir

bebaskan aku
dari keadaan ini
sempurnakan hidupku
dari rapuhnya jiwaku
adakah seseorang
yang melepaskanku
dari kesepian ini

Episod I

2 comments


Pertemuan pertama itu buat dia merasa gembira sebenarnya. Dia cuba tenangkan hati dengan pergolakan yang menerjah beberapa purnama ini. Mendung seakan menggelapkan perasaan dia yang sekian lama terpendam di relung hatinya.

Dia pasti masa akan merubah segala. Tapi penat juga menunggu, sedangkan masa berputar begitu pantas. Pendiriannya masih berpaksi teguh. Tapi apakan daya, sepi itu memerangkap dia di dalam lorong –lorong yang pernah dilaluinya dulu. Mencari jalan keluar. Pulang mengadap ke asalnya.

Namun tidak bermakna dia bermain perasaan. Dia yakin, masih ada lagi yang berjiwa mulia. Bermaknakah hanya sementara? Sedangkan dia arif akan takdir sebegini. Cerita lama buat dia penuh ilmu di dada. Lalui dengan jiwa yang tenang sahaja. Jangan digadai sehabis-habisnya. Kelak dia tidak akan merasa ’lemah’ dek kerna disingkirkan.

Pada insan itu, jangan khuatiri. Ikhlas menjadi pegangan dia. Dia sangat berterima kasih. Dengan jiwa dan rasa yang dipersembahkan. Dia hargai apa yang dimiliki sekarang.