Friday, February 29, 2008

Semangat

0 comments


IM dari seorang sahabat baik ku.

y******* -: hidup kita ni kejap je..
y******* -: byk bnda yg lebih pntg..
y******* -: pkara mcm tu just phiasan..
y******* -: mmgla xde prob,bkn life namanya..
y******* -: tp life gak bmaksud bila ada prob kita selesaikan..
y******* -: cmne cara kita selesaikan..that's one aspect of life..
y******* -: bila kita da jmpa caranye,itula yg mematangkan kita...
y******* -: tmbh2 mematangkan..
y******* -: yg ko alami ni,just a stage rite..
y******* -: mcm aku,myb aku takkan alaminya sbb dia tau aku bleh handle..
y******* -: bkn apala,tp tula..aku always +ve thinking..
y******* -: tu sbb agaknye diduga aku pkara yg lbih besar..
y******* -: tu yg selalu aku fikir..


Begitulah kami. Saling memerlukan. Aku curi semangat yang ada padanya. Aku semakin bertenaga sekarang. Tidak mahu menoleh kebelakang lagi. Teruskan hidup dengan keyakinan. Kembali kepada niat asal ku. Hidup lebih diredhai.

*Terima kasih wahai sahabat!!!.

Jangan Bersedih Lagi

0 comments


Lagu untuk hari ini, untuk diriku sendiri.

JANGAN BERSEDIH LAGI

Kekasihku jangan bersedih lagi
Keringkanlah titisan airmata di pipi
Kekasihku tabahkan hatimu
Sekalipun tak pernah terduga
Halangan yang melanda
Melenyapkan impian bersama
Jangan dikesali atas apa yang terjadi
Mungkin rahmat sebaliknya
Membuahkan bahagia

Kekasihku aku tahu
Kita sama saling percaya
Tidak pernah ada dusta
Kasih antara kita
Jangan berduka
Jangan berdendam pada sesiapa
Bersabarlah menerima
Segala-galanya dengan redha

Mungkin suatu hari
Kita akan bersama lagi
Aku masih mengharap
Segalanya kan berulang semula

*Cekal kan hati ini. Masa akan merubah segalanya. Yakin semuanya agar berakhir dengan kebahagiaan. Insyaallah

Wednesday, February 27, 2008

Titik

0 comments

Puas aku mencari titik itu. Sampai sekarang masih lagi mencari-cari. Aku merangkak, berjalan dan berlari belum ketemu lagi. Puas sudah berfikir, doa, dan beristikharah. Jawapannya masih lagi samar. Bayang pun langsung tiada.

Adakah titik itu wujud atau tidak? Jika wujud, sampai kapankah aku bisa ketemu? Aku sendiri pun tidak pasti jawapannya. Mungkin jua perjalanan bertemu titik itu masih lagi panjang. Jika tidak berhasil juga, aku sudah ada jawapannya. Aku milik mu dunia dan akhirat. Yakin pasti?

Kejujuran

0 comments

Sahabat,

Maaf andai sms hari itu buat engkau salah faham. Aku tidak pernah mempersoalkan kejujuran engkau dalam hubungan kita. Tidak mungkin aku binasakan hubungan baik kita semudah itu. Terpulang pada engkau untuk tafsirkan bagaimana.

Adakalanya aku perlu meluahkan perasaan. Bukan menuntut hak, tetapi kebenaran. Tidak sedikit pun mencurigai atas apa yang berlaku sebelum ini. 'Perkara itu' memang memberi kesan dalam hidup aku. Sukar sebenarnya untuk diterima. Dan jujurnya aku tidak pernah terfikir pun. Bayangkan jika engkau berada di tempat aku. Sukar bukan?

Aku tidak pernah membenci atau memaksa engkau membenci aku. Kau tetap sahabat aku dunia akhirat. Kadangkala kita perlu mengikis sedikit sifat egois itu. Insyaallah akan teserlah kejujuran dan keikhlasan kita sebenarnya.

Engkau harus faham juga situasi aku hari ini. Dibelenggu masalah kesihatan dan macam-macam lagi. Dan semua ini menjadi fokus utama aku sekarang. Yang lain-lain (termasuk perkara itu) aku serahkan kepada takdir Ilahi. Aku pasrah sahaja sekarang.

Pada sahabat aku yang seorang ini, percayalah kita masih bersahabat. Aku masih perlukan engkau sampai bila-bila. Ku doakan engkau baik-baik belaka. Ameen.

*Antara kejujuran dan hubungan mana satu anda pilih? Jika aku, sudah pasti kejujuran. Besar maknanya.

Tuesday, February 26, 2008

Sunyi dan Sepi

0 comments


Adakah kesibukan itu meragut ingatan kita kepada seseorang? Sehinggakan ada perkara-perkara yang sepatutnya dijanjikan bersama dilupakan? Ya, kita hanya merancang Tuhan yang menentukan segalanya. Itu takdir yang telah termaktub.

Akur. Terus menunggu. Tidak pasti bila. Yang pasti sunyi menjengah tiap saat sepi. Hanya ingatan ini sahaja tidak pernah surut. Rindu kian bertamu.

Penantian itu satu penyiksaan. Mungkin benar kata-kata itu.

Monday, February 25, 2008

Tiga Bulan

0 comments


Ya, genap sudah tiga bulan hari ini. Syukur hati ini masih kuat dan teguh. Jika menyemai benih, baru menampakkan kudup pertamanya. Begitulah analogi. Masih hijau dan baru lagi hubungan ini sebenarnya. Ku doakan baik-baik belaka. Meski, lewat sehingga ke saat ini, sudah banyak peristiwa dan insiden yang berlaku. ”Anggaplah ini semua ujian dalam hubungan kita”, kata ’dia’ penuh makna.

Ku mengiyakan sahaja. Sudah ku tepis-tepis dan tangkis-tangkis segala anasir nista yang menjengah. Penat sebenarnya bertarung dalam dunia penuh rekaan ini. Tapi hakikatnya nyata. Bernafas dalam udara yang sama, berpijak atas tapak yang sama. Begitulah sifatnya, akur dengan takdir hidup ini.

Hari ini aku gembira, walaupun sedih adakalanya. Sudah ku biasakan perasaan itu sejak akhir-akhir ini. Yang penting ku tahu siapa diriku di hati dia. Itulah pesan dia. Ku tahu ’dia’ manusia ikhlas juga.

Pada ’dia’, terima kasih dengan jiwa yang diberi selama ini. Penuh kasih sayang dan bermakna. Ku dendangkan kembali lagu ini. Yang pernah ’dia’ dedikasikan kepada ku tiga bulan lalu. Bila tercerap kembali, bibir ini menguntum senyum sepuas-puasnya. Hati ini benar-benar tertambat.

I'm the Lucky One – Anuar Zain

Ku persembahkan satu cita ku..
Setulus hati hanyalah untukmu
Dan ku lakukan semampu aku tuk menyayangimu
Hingga kau merasa jadi pujaan ku
Meski bercinta kadang tak indah
Tapi tuk buktikan kau yg terindah
Dan kupastikan..i'm the lucky one..
Nikmati cinta lebih dari segalanya....

Jiwaku ini yg tak tersentuh
Kini terasa sejak bersamammu
Berikan hangat hinggaku tak mampu berjauh darimu
Kerna kau yg bisa buatku bahagia

Meski bercinta kadang tak indah
Tapi tuk buktikan kau yg terindah
Dan ku pastikan i'm the lucky one
Nikmati cinta lebih dari segalanya

Caramu membuatku tak berdaya
Hatiku pun ribut terjaga
Kau ubah hidupku ini jadi sempurna

Meski bercinta kadang tak indah
Tapi tuk buktikan kau yg terindah
Dan ku pastikan i'm the lucky one
Nikmati cinta lebih dari segalanya

* Kata ‘dia’ lagu ini lagu aku. Betulkah? Memang terkesan, lihat saja aku hari ini. Apa sudah jadi. Tak mengapa, aku bahagia.





Gugusan Terima Kasih

1 comments


Sudah dua hari tidak bertandang ke 'rumah' ini. Sengaja dihalkan begitu. Ku tunggu hari ini baru mencoret. Menambah koleksi entri yang sedia ada. Terkisah kenangan bila menjengah waktu silam nanti.

Dua hari lepas ulangtahun kelahiran ku (23 Februari 2008). Tiada apa yang istimewanya untuk tahun ini. Tiada kejutan yang luar biasa yang terjadi. Lazimnya setiap tahun aku 'dikenakan' dengan tragedi yang pelik-pelik yang direncana oleh teman-teman. Tahun ini aku terselamat. Bagus juga. Kalau tidak lunyai diri ini diperlakukan macam-macam. Ku senyum sendiri bila terkenang detik itu. Mungkin sudah menjengah umur-umur sebegini sudah tidak layak untuk disambut secara meriah sebegitu. Bagi ku ingatan dan ucapan selamat sudah memadai. Usai sahaja waktu merangkak melepasi jam 12:00 pagi, tidak putus-putus kantung inbox handphone aku terisi sms ucapan selamat hari jadi. Ucapan terima kasih kembali buat kalian - keluarga, teman, sahabat dan 'dia'. Terima kasih atas ingatan dan hadiah yang diberi. Syukur.

Tertumpah air mata ini di pagi itu. Mendengar suara ibu di kampung. Ucap selamat kerana telah melahir dan membesarkan anakmu ini sebaiknya. Alhamdulillah ku punya ibu yang terbaik. Tak sabar katanya menunggu kepulanganku jumaat ini. Ada majlis untuk aku katanya. Sudah menjadi kebiasaan saban tahun pasti ada sambutan bersama keluarga.

Baru semalam lidah ini menikmati kek hari jadi. Aku berpesta sarapan bersama keluarga abang angkat. Sudah ku anggap mereka seperti keluarga kandung ku sendiri. Kebetulan anak kecilnya menyambut hari lahir seminggu lepas. Jadi kami sambut bersama-sama semalam. Seronok juga. Situasi yang sangat berbeza dari sebelum ini.

Walau apa pun keadaannya, aku sungguh bersyukur dan gembira. Moga-moga hati ini terus ampuh menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Yang pasti pertambahan usia ini akan mendewasa dan mematangkan perjalanan hidup ku. Yakin Tuhan itu maha adil dan pemurah.

Friday, February 22, 2008

Coretan di 'Rumah' Ini

1 comments


'Rumah' ini bukannya medan bertikam kata. Jauh sekali mewujudkan angkara. Tidak sama sekali. Aku gembira dengan 'rumah' ku ini. Ku paksikan dengan kejujuran dan keikhlasan. Dengan niat ku bukakan segala pintu permasalahan, tanpa bersuara apa-apa. Ya, ku usaikan dengan coretan buruk ini dengan harapan dapat melegakan hati sendiri.

Akui, meniti perjalanan yang sukar masa ini. Ku sambut dengan tangan terbuka. Yakin, akan membuahkan kematangan suatu hari nanti. Meski tersangkak dan teroleng-oleng dalam melawan segala musibah ini, aku bersyukur punya teman, sahabat, 'dia', dan keluarga yang sentiasa bersama. Moga Allah merahmati mereka dunia dan akhirat.

Perasaan ku hari ini Alhamdulillah tenang. Tidak mahu mengharap apa-apa lagi. Ku biarkan sahaja apa yang terjadi. Bukan maksud ku mengalah. Ku bina benteng kekuatan dari mereka-mereka di sekitaran ku. Biarpun masih terlihat rompong dan lompongnya, ku utuhkan kembali dengan doa dan tawakal.

Ku titip pesan untuk diri ku sendiri. Itu tanggungjawab dan kewajipan. Hidup perlu perubahan. Semakin banyak perubahan, semakin banyak juga hal yang dapat diselongkar. Depani hidup ini, meski diri dipasung penat dan upaya cekal. Yang pasti dugaannya bukan sedikit jua. Itulah takdir Tuhan.

* Buat teman di Ijok bersabar jua menempuh dugaan. Ku doakan kesihatan mu beransur pulih. Ameen.

Thursday, February 21, 2008

Tegas

1 comments

Sudah malas aku fikirkan. Kian difikir bertambah berat kepala ini menanggung macam-macam. Aku mahu tenang-tenang sahaja saat ini. Apa pun ujian ku terima, biarlah. Hati ku semakin keras. Lara nan lara. Silih berganti pun. Sampai bila pun tidak akan kunjung padam.

Penjelasan ku cukup terang sebelum ini. Sudah ku tegaskan jika insiden itu berlaku lagi untuk kedua kalinya, aku sedia menjauh diri. Tidak mahu aku berdepan dengan situasi itu. Cukup menyakitkan. Memang perit dan pedih. Tiada apa lagi yang boleh aku harapkan. Seolah tiada kejujuran dalam dunia ini. Kepercayaan ku luntur. Aku tidak kesah jika yang 'lain'. Cuma yang 'satu' ini aku cukup-cukup sensitif. Susah untuk aku terima.

Dahulunya hati ini cukup sedih diperlakukan begitu. Tersepit dan terinaya. Nasib hati ini masih lembut menerima semuanya. Parut lukanya masih ada. Jika berdarah kembali sukar disembuhkan. Begitulah aku. Pengalaman mengajar aku dengan semua ini. Siapa yang mengalaminya pasti merasa terkilan teramat sangat. Langsung tidak terduga.

Tiada guna lagi berkorban untuk hal ini. Yang menanggungnya aku sendiri. Sudah nasib badan.
* Yang sudah tu sudah, nangis tidak berlagu lagi.. - Imran Ajmain


Wednesday, February 20, 2008

Resah

0 comments


Kata-kata 'dia' sungguh terkesan. Tunduk aku tanpa bicara. Mendengar tiap butir katanya. Sesungguhnya ada kebenaran dan fahami segala pandangan tegasnya. Aku mengiyakan sahaja. Aku semat satu-satu sehingga menjadi penawar yang mujarab. Ubat bagi keresahan ku.

Semalaman aku berfikir tentang masa depan hubungan ini. Hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan. Dari ketulusan hati yang mendalam. Sukar untuk aku menidakkan perkara ini. Sudah ku tebarkan kasih sayang sepenuhnya tanpa berbelah bagi. Bagi ku itu pengorbanan sejati.

Biar berjauhan dan bertahun lama sekalipun, hati ini tetap sama. Tidak akan berpaling walau sedikitpun. Demi ukhwah ini aku abadikan segalanya. Meski aku keseorangan sahaja meneruskan perjalanan. Tanpa 'dia' disisi menemani sunyi hidupku.

Resah yang meraja ku singkirkan perlahan-lahan dari relung hati. Tika ini jiwaku kembali tenang. Setenang laut yang sedang surut airnya. Tidak mahu lagi menyongsang arus deras, karam dalam gelombang yang ku cipta sendiri. Mohon berkekalan selamanya begini. Amin..

Aku bahagia memiliki 'dia'. Mulia hatinya. Pada dia janganlah menjauh hati disebabkan insiden ini. Ku cuba sedaya upaya memperbaiki keadaan. InsyAllah 2-3 hari ini akan pulih seperti biasa. Ya, aku usaha dan tawakal.


Aku suka lirik lagu ni..” Harus Ku Teruskan’- Aliff Aziz.

Kanan dan kiri suramnya terasa cuba fahami apa yang terjadi

Kanan dan kiri suramnya terasa cuba fahami apa yang terjadi
Tidak tertangggung beban di alami mengapa terjadi sebegini

Tiada guna bertanya semua yang terjadi
Janjiku kepada diri hidup harus aku teruskan

Tuhan berikan sinar harapan hembuskan suatu kekuatan
Ku mohon jauhkan dari kegelapan ini agar bisa aku teruskan

Walaupun lelah untuk menghadapi mengalah bukan jawapan yang ada
Walaupun berat segala di dada ku pasti mengharungi ke akhirnya

Tiada guna bertanya semua yang terjadi
Janjiku kepada diri hidup harus aku teruskan

Tuhan berikan sinar harapan hembuskan suatu kekuatan
Ku hanya insan yag kerdil di dunia ini tunjukkan ku jalan hadapan

Genggami tangan ini oh teman disaat aku memerlukan
Dan bila waktu untuk melangkah pergi
Berikanlah daku cahaya tabahkan jiwaku oh Tuhan



Semangat bagi aku. Aku ingin gumbira seperti sedia kala. Pergilah wahai duka. Jangan kau bertandang lagi dalam diri ini. Huhhh..

Tuesday, February 19, 2008

Ukhwah

0 comments

"Kita sudah seperti adik beradik. Saling memerlukan. Ukhwah kita itu yang penting". Jawapan darinya. Aku terima dengan penuh makna. Ya, itu lah kebenarannya.

Menurut sahaja. Walaupun sedih dalam hati ini masih belum hilang. Aku berjanji dengan diriku tidak akan meluahkan apa-apa lagi. Risau kelak salah tafsiran. Demi ukhwah yang dibina aku akur. Terima seadanya.

Aku tidak berniat mencurigai ukhwah ini. Jauh sekali memikirkan perkara-perkara yang tidak baik. Aku dibelenggu dengan gangguan itu. Gangguan itu benar-benar meracun hati dan perasaan. Harus ku lawan walaupun sakit. Semakin dilawan, semakin kuat benda itu meracun. Aku usaha singkirkan gangguan ini dari meracuni seluruh emosi dan hidupku. Walau dengan cara apa sekalipun.

Tidak pasti sampai bila ukhwah ini bertahan. Ku doakan yang terbaik sahaja. Perlu kekuatan dari kedua-duanya. Jika seorang tempang, seorang lagi akan menongkatnya. Begitulah yang diharapkan.




Saturday, February 16, 2008

Dingin

0 comments

Aku kian merasakan. Katanya tiada apa-apa. Ku mohon maaf salah tingkah ku. Aku hanya meluahkan. Tiada niat menyakiti hati ‘dia’. Berdosa kalau perasaan ku begitu. Mohon sekali lagi, maafkan.

Begitulah. Aku hanya mampu begini saja. Tiada apa yang lebih dari ini yang dapat aku lunaskan. Dengan harapan baik-baik sahaja selang beberapa hari nanti.

Fahami. Beginilah lumrah kehidupan. Bukan selamanya gembira dan bahagia. Tiap apa yang berlaku ku jadikan pengajaran. Sinonim dengan hubungan ini. Ada pasang surutnya. Akur dengan tiap apa yang berlaku.

Saat ini hidupku bergolak. Ku minta sokongan darinya. Bukan kupinta jadi begini. Aku betul-betul ingin bangun semula. Aku usaha. Aku ingin ceria seperti dulu. Selekas mungkin. Ya Allah aku mohon padamu. Kabulkan Ya Rabbi.

Dua tiga hari ini aku sepi. Tiada lagi gurau nakalnya. Aku rindu.

*Pengajaran – Senyap sahaja. Jangan meluahkan.



Friday, February 15, 2008

Selamat Hari Lahir

0 comments

14 Februari 2008


Buat teman, C**** Selamat Hari Lahir buatmu yang ke-26 tahun. Moga pertambahan usia mematangkan dirimu. Tak lupa ku doakan moga kesihatan mu beransur baik juga. Jangan bersedih lagi.


Nasib kita hampir serupa. Tapi aku lebih sedikit bernasib baik barangkali. Hapuslah kisah sedih itu. Berbahagialah bersama orang baru. Ku lihat kau semakin gembira sekarang. Barang yang lepas jangan dikenang. Tiada guna lagi kalau dia curang sebegitu.


*Dengar cerita boleh tahan juga kekasih baru. Dapat hadiah teddy bear dari London lagi. Bertuahnya. Aku tumpang gembira.




15 Februari 2008


Selamat ulangtahun ke-28 tahun untuk abang K*****. Moga murah rezeki dan panjang umur. Tengahari tadi jumpa dia di pejabatnya. Berjabat tangan ucap sejahtera. Hari terakhirnya di kementerian itu. Minggu depan di pejabat baru. Moga gembira di sana nanti


Teringat masa kecil. Kami memang kuat bergaduh. Asyik bercakaran ja. Sekarang masing-masing sudah dewasa. Banyak jasanya kepada aku. Aku tak lupa. Terima kasih!!!




15 Februari 2008


Petang tadi aku telefon. Mamanya angkat. Ingin bercakap dengan si kecil di rumah itu. "Hello, I** happy birthday!!", suara ku diganggang telefon. "Hello C** **, hari ni birthday I** tau," manja suaranya membalas. Ku tanya apa hadiah yang si kecil itu mahu. "Kek!", jawabnya ringkas. Oh ya, sudah ku janjikan dari bulan lepas. Harus aku membelinya. Kalau tidak pasti dituntut oleh sikecil itu sampai bila-bila. Aku sudah mula memahami telatahnya.


Kalau tidak silap sudah usia tiga dia tahun ini. Tapi bijak sunggguh. Keletahnya kadang-kadang buat aku 'sengasara'. Selalu aku di 'buli' oleh si kecil itu. Hahaha..aku sudah biasa melayan kanak-kanak. Aku 'gembira' diperlakukan begitu. C** ** doakan I** membesar jadi orang yang baik-baik. Patuh perintah Papa dan Mama. Tak lupa juga suruhan Tuhan. Ameen..



*Hari ulangtahun aku bila ya? Hehehe 8 hari lagi rupanya.. :)




Semalam 14 Februari 2008

0 comments

Seolah punya magis. Terhapus sudah resah yang tersimpan sejak dua hari lepas. Ku tatap wajah itu dengan penuh kasih sayang. Begitulah acap kalinya. Tenang sahaja hati ini bila bersama 'dia'. 'Dia' benar-benar penawar jiwa.

Kami makan di restoran itu. Sudah menjadi tempat dating kami di restoran itu dari awal perkenalan hingga sekarang. Cuma sejak akhir-akhir ini jarang kami ke sana. Masing-masing sibuk dengan tugasan kerja.

Ada perbincangan antara kami. Perbincangan yang matang. Kelaraikan satu persatu masalah-masalah itu. Mencari jalan keluar agar aku kembali tenang dari kemelut hidup. Nasihatnya provokasi, adakalanya tersentap juga. Tapi aku tahu semua itu ada kebenarannya. 'Dia' ingin aku hidup gembira.

Hari ini aku kembali ceria. Aku punya 'dia' yang sentiasa disisi. Sudah ku tempatkan hati ini untuk 'dia' sahaja. Terima kasih Tuhan.

*Semalam Hari Kasih Sayang. Tapi hari-hari pun sayang. Bukan semalam ja :)

Wednesday, February 13, 2008

Ketahuan

0 comments

Terserempak. Dari jauh kelihatan mereka berdua. Ya, sangat mesra. Segera beralih tempat. Tak sanggup jika berdepan.

Yang pasti hati bergelora. Sakit dada dan kepala. Diamkan sahaja. Simpan dan terus simpan entah sampai bila.

Menangis sahaja dalam hati.

*Tiada kesimpulan untuk kejadian di atas.

Jauh

1 comments

Ya, aku perlu. Ku tanam cita-cita itu sejak kelmarin. Berusaha lah ke arah itu.

Jauh. Mungkin menjauh. Sejauh mungkin.

Pastikah keputusan ini? Bimbang hati ini 'sedih' lagi.

Tertunduk bisu, ku renung tempat sujud itu. Tiada jawapan lagi.

Tuesday, February 12, 2008

Rasa Itu

0 comments

Dipermulaan, rasa itu sangat hebat. Semuanya baik-baik belaka. Tiada apa yang mahu diragui. Indah tak terkata.

Dipertengahan, rasa itu kian kurang. Sudah mula terasing sendiri. Sedih juga jadi begini. Apalah daya. Diri ini bukan miliknya seorang. Akur dengan prinsip dirinya. Bertahanlah selagi daya. Bertarung dengan macam-macam masalah dan konflik diri. Emosi terganggu, kesannya perilaku juga berubah. Maaf sekiranya sebulan lepas buat ‘dia’ seakan bosan. Tidak ku pinta takdir ku begini. Terima kasih buat ‘dia’ sentiasa disisi berikan dorongan dan semangat. Aku tak lupa. Itu kelebihan ‘dia’.

Hari ini, rasa itu masih ada. Tapi seolah biasa-biasa sahaja. Entah mengapa. Ku pendam saja tanpa meluahkan. Biar perasaan itu sendiri. Ikut sahaja kehendaknya.

Esok, lusa, bulan depan, tahun depan, tahun-tahun akan datang, masih ada lagikah rasa itu? Masih lagikah aku disini? Aku tak pasti. Jika takdir hati ini kembali sendiri, aku redha. Sekurang-kurangnya aku berjaya melunaskan janji. Sudah ku lakukan yang terbaik setakat ini.

Cinta

0 comments

Radio dibuka sejurus enjin kereta dipanaskan. Terdengar kelunakan suara dua wanita menyampaikan lagu ini. Lebih sedap dari penyanyi asalnya. Ya, sudah lama tidak ku dengar lagu ini. Aku suka. Liriknya puitis.


Menatap jalan yang menjauh
Tentukan arah yang ku mau
Tempatkan aku pada satu
Peristiwa yang membuat hati lara

Di dekat engkau aku tenang
Sendu matamu penuh tanya
Misteri hidup akan kah menghilang
Dan bahagia di akhir cerita

Cinta tegarkan hatiku
Tak mau sesuatu merenggut engkau
Naluriku berkata
Tak ingin terulang lagi
Kehilangan cinta hati
Bagai raga tak bernyawa

Aku junjung petuamu
Cintai dia yang mencintaiku
Hati yang dulu belayar
Kini telah menepi
Bukankah hidup kita
Akhirnya harus bahagia

Cinta
Biar saja ada
Yang terjadi biar saja terjadi
Bagai manapun hidup
Memang hanya cerita
Cerita tentang meninggalkan dengan ditinggalkan
Cinta…..

Cukup indah dan terkesan tetapi pedih.

*Teringat nota lama " Di mana ku letakkan jiwa ini, seakan berterbangan untuk mencari tempatnya, hatiku selamanya memuja dan mencinta, kau kekasihku, hilang..."

Monday, February 11, 2008

Awek Comel

2 comments

Comel juga awek ni. Hehehe.. aku nakal. Perkenalan hari itu buat hatiku berbunga kembali. Sudah lama tidak jatuh hati.

Debat Integriti 2008 di USM minggu lepas tempat kami bertemu. Aku mendapat jemputan sebagai hakim pertandingan. Tugasan dilaksanakan sebaik mungkin. Sebelum hakim-hakim diarahkan ke bilik pertandingan, ada petugas urusetia akan membantu mengiringi kami. Lazimnya petugas urusetia akan memegang sekeping kertas tertera nombor bilik pertandingan. Ku cari bilik B104. Ya nampak, lantas ku menghampiri petugas urusetia itu.


"Encik bertugas di bilik B104?", tanya petugas urusetia itu dengan suara yang lemah lembut. "Ya", jawab ku ringkas sahaja. Terkesima saat ku memandangnya buat kali pertama. Tiba-tiba jantung ini berdegup rancak. Berdebar-debar tidak tahu mengapa. Cuma satu sahaja yang dapat aku simpulkan. Comel!.


"Encik, mari ikut saya. Kita ke bilik pertandingan" Pelawa dia lagi. Ku ikut sahaja. Kami jalan beriringan. "Saya ingatkan encik ni peserta , rupanya hakim pula, nampak macam student lagi", sambung dia. Aduh, muda lagi ke aku ni?. Hehe memang pun. Kebanyakkan hakim yang hadir kali ini semuanya layak dipangil pakcik-pakcik. Tak ramai yang muda-muda pun. Bangga seketika dek kerna dipuji.


Perjalanan ke bilik pertandingan agak jauh juga. Kesempatan itu, kami sempat berkenalan bertanya nama dan perihal diri sedikit-sedikit. Seolah ada chemistry antara kami. Cepat mesranya. "Ok, kita dah sampai, nanti kita borak-borak lagi", kata dia mengakhiri perbualan. Ku mengiyakan sahaja.


Malam, aku tidak lena tidur. Teringatkan awek comel itu. Seolah aku sudah jatuh hati pada dia. Perkenalan yang singkat itu betul-betul mengembirakan. Lusa aku mahu pulang sudah ke Kota Lumpur. Esok aku mesti dapatkan juga nombor handphone dia. Wajib!


Esoknya, berselisih dengan awek comel ditangga masuk dewan. "Hai Cik R**a, selamat pagi", aku tegur. Dijawabnya dengan ceria. Lantas aku memberitahu, esok hari terakhir ku disini. Seakan cemas ku lihat wajahnya. "Ok, nanti kita contact-contact la. Malam ni boleh kita keluar dating", nakal dia menjawab sambil tersenyum. Dating?. Peluang baik bagi aku. Tidak akan ku lepaskan. Dengan pantas ku meminta nombor handphone, dengan alasan supaya mudah aku hubungi dia. Nombor telefon bertukar tangan. Yes, berjaya.


Lupa, malam itu aku ada janji temu dengan seorang teman. Maksudnya tak dapat la aku keluar dating dengan awek comel itu. Tak mengapa la, tiada rezeki mahu dating dengan dia lagi. Esoknya aku pulang tanpa berkesempatan berjumpa dia. Rasa terkilan.


Semalam, kami berhubung seperti biasa. Rancak ber sms hingga larut malam. Ada janji antara kami. Hajat yang belum disudahkan lagi. Keluar dating. Hehehe.. Selepas ini ada tujuan la aku ke Pulau Pinang. Ada awek comel menunggu ku di sana. Aku mula menyukainya.


R**a, nanti abang datang sana ya..


*Pada 'dia' ku mohon restu. Boleh kan? Hehehe

Sunday, February 10, 2008

Jaket

0 comments

Tergantung elok di dinding rumah. Acap kali memandang jaket itu. Ya, punya pengertiaan dalam hidup ini. Jaket itu lah peneman saat aku berjauhan dengan ‘dia’.

Ku peluk dan cium. Melekat bau ‘dia’ disitu. Rindu sangat rasanya. Hampir seminggu tidak ku tatap wajah dia. Pulangnya ‘dia’ nanti akan ku cium tangannya puas-puas. Tanda rindu dan kasih pada insan itu.

Teringat hari pertama berjauhan. Sebak hati tika ku dakap jaket itu. Terimbas saat pertama perkenalan. Terbayang semua memori indah bersama ‘dia’. Semuanya tersingkap diruang mata. Bahagia aku rasa. Jika dapat diulang detik itu, alangkah bagusnya. Tidak sedar air mata bergenang dikelopak mata. Tertahan waktu untuk dijatuhkan. Aku sayu.

Hari ini, jaket itu punya nilai sentimentalnya tersendiri. Jangan siapa-siapa cuba untuk memakainya. Memang aku tak bagi, kecuali 'dia'.

Saturday, February 9, 2008

Private Number

1 comments

Aku benci panggilan itu. Kali ini kedua kali. Buat aku rasa sesak nafas. Sakit dada ku. Terpapar di screen handphone - private number. Ku sangka siapa. Manusia itu lagi yang tidak ku kenal asal usulnya. Yang pasti aku benci mendengar cacian dan makian yang dilemparkan. Marah-marah tentang hubungan yang aku jalinkan dengan ‘dia’.

Salahkah aku menyayangi ‘dia’? Kenapa aku dipersalahkan? Bukan aku seorang sahaja dihatinya. Ramai lagi. Bertambah pusing kepala aku yang sudah sedia sakit. Ku dengar sahaja tiap butir katanya. Sakit hati sungguh. Mahu sahaja ku hempas N70 ku ke dinding. Oh tidak, tak akan aku rosakkan harta ku semata-mata panggilan bodoh sebegini.

Kata-kata nista yang dilemparkan buat aku jelik. Sedikit sebanyak menggoyahkan kepercayaan aku kepada ‘dia’. Tapi tidak semudah itu aku terpedaya. Sudah puas aku memujuk diri. Ikutkan hati, sudah lama aku ingin menjauhkan diri dari ‘dia’. Tapi aku tak bisa berbuat begitu. Ku tahu masa depan bersamanya masih lagi panjang. Banyak lagi cita-cita dan harapan kami yang belum terlaksana. Niat ku ikhlas, seawal perkenalan lagi. Aku yakin berada di jalan yang benar.

Tidak mengerti kenapa semuanya terjadi pada ku. Ada saja halangan dalam hubungan ini. Rasanya sudah banyak aku korbankan. Lebih-lebih lagi perasaan ku sendiri. Padaku biar la aku sendiri yang tersiksa. Kepada si pemanggil misteri itu, aku cabar. Siapa yang terbaik dialah yang layak mendampingi ‘dia’. Mahu sahut cabaran ini??.

*Teringat panggilan kali pertama. Aku pengsan malam itu. Keesokan harinya dipujuk oleh 'dia'. Tenang kembali sakit dada.

Friday, February 8, 2008

Denyut

0 comments

Kelainan pada diri ku. Seminggu ini kepala ku seringkali sakit. Sakit berdenyut-denyut dibahagian dahi. Hairan juga tidak pernah pula jadi begini. Sampai berkerut menahan perit.

Lantas teringat kejadian dua minggu sudah. Tika kepala terhantuk di bahu jalan. Terhempas betul-betul dibucu pembahagi. Ya, aku jadi mangsa langgar lari. Saat itu aku sedang berjalan kaki menuju ke pejabat. Aku dilanggar dari belakang dengan sebuah kereta berwarna hitam (tidak pasti kereta model apa dan nombor pendaftaran). Bungkam aku di situ. Pening dan sakit sahaja yang aku tahu. Tak terdaya bangun walau sedikit pun. Mahu sahaja aku pengsan di situ, ku tahan juga sakitnya. Malang sungguh aku hari itu. Syukur ada insan mulia sudi membantu.

Kemungkinan itu kah kepala ku pusing sebegini??.Impak dari kesan hantukan itu?. Selepas peristiwa itu tiada lagi ku buat rawatan susulan. Cuma sengal benjolan masih terasa lagi sehingga kini..Aku risau…

Doa dan Harapan

0 comments




Kembali ke Kota Lumpur. Dengan harapan dan doa baru. Sudah lama ku impikan semangat sebegini. Tinggal lah wahai duka dibawa gelombang samudera. Ku tinggal kau di situ bersama impian-impian yang tak sudah.

Perjalanan yang jauh membuatkan kepala ku sedikit pusing. Memandu seorang diri agak penat rasanya. Bukan ku tidak biasa keadaan sebegini. Tuntutan kerja ku seharian memerlukan aku memandu setiap hari. Mungkin kurang vitamin kut badan aku ni.

Di benak sudah tersimpan perkara yang harus aku rancang dan lakukan. Segala keputusan akan ku laksanakan satu-persatu. Ya, mungkin sukar untuk aku kotakan. Ku mohon agar Tuhan sentiasa bersamaku dalam meniti hari-hari yang mendatang. Soal hidup, keluarga, kerjaya, dan sahabat. Sudah ku rencanakan jalan penyelesaian yang terbaik.

Cuma satu perkara yang buat aku payah untuk aku hadapi. Ingatan ku tidak henti-henti kepada dia. Dia yang sentiasa aku rindu dan sayang. Entah mengapa kali ini lain benar perasaan itu. Sebelum ini tidak pernah pula berkeadaan sedemikian. Sukar sekali menyayangi dirinya. Tidak seperti ku jangka seawal perkenalan. Hari ini ingin sekali aku bertanya khabar, takut pula mengganggu. Lazimnya subuh lagi sudah ku terima sms selamat pagi. Seharian ku tunggu sms dari dia. Tiada juga. Biarla mungkin dia sedang sibuk barangkali.

Untuk dia juga aku punya jalan penyelesaian. Demi hubungan yang dibina aku akur. Ku mengerti dan memahami keadaan dia. Ku mohon pengertiaan dari hatinya juga. Biar la hati ini sendiri buat sementara waktu. Mungkin ada jalan keluar untuk semua kekusutan yang menghalang.

Huh! Ku lepaskan segala lelah di dada. Ku punya misi dan semangat baru. Ku mohon kekuatan dari mu Ya Allah..Doa dan harapan.

Thursday, February 7, 2008

Pakcik Roslan

1 comments

Segar pagi ini. Berkesempatan menjejakkan kaki di gigi air. Rasa tenang dan damai. Sudah lama ku cari bahagia sebegini. Ironinya, sudah menjadi kebiasaan bagi ku. Laut tempat ku melepaskan segala masalah. Teringat tika ku di Borneo. Tiga tahun ku di sana, laut peneman setia ku.

Sedang ralit kaki ini melangkah, datang seorang lelaki menyapa lembut. "Anak ni sorang-sorang ja ke?", tegur seorang pakcik sambil mengelap peluh di dahi. "A'ah pakcik", tegur ku sopan. Lantas sempat kami berkenalan lalu berehat di tunggul buruk di bawah pohon kelapa.

Roslan namanya. Ku bahasakan pakcik sahaja kepadanya. Seolah punya ilmu orang tua ini. Seakan mengerti kemelut yang aku alami. "Ko ni macam ada masalah ja?", tegur dia seakan tahu. Tunduk aku kala itu. Berfikir harus kah aku bercerita padanya. Dengan nada sayu aku susun satu persatu tutur kata. Berkongsi apa yang terpendam dan tersarang dalam hati. Tanpa segan dan malu ku terangkan segalanya. Sekurang-kurangnya aku ada teman bercerita disini.

Kesian. Perkataan pertama yang terpacul dibibir Pakcik Roslan. Didengar penuh kusyuk oleh dia sambil menggelengkan kepala. "Pakcik boleh tolong, nanti kita pergi berubat. Pakcik ada kenalan ustaz dekat sini", terang dia lagi. Harapan baru bagi aku. Memang niat ku ingin berubat lagi. Aku rimas dengan gangguan ini. Sejak akhir-akhir ini buat aku hilang semangat diri.

Petang itu seperti dijanjikan aku berangkat pergi ke rumah Ustaz Malek bersama Pakcik Roslan. Mencari peluang baru menghilangkan gangguan dalam diri ini. Terima kasih ya Allah temukan aku dengan Pakcik Roslan.

Saat Ini

0 comments


Saat pertama menulis di blog ini. Moga mendapat ketenangan yang kian hilang. Tiada apa yang dipinta. Hapuslah kisah sedih ini.

Ada masanya kita sering ditimpa pelbagai masalah yang tidak terduga. Lebih sakit dan parah kalau ianya datang dalam satu masa. Akur dengan takdir dan ketentuan Tuhan. Terima segala ujian yang melanda dengan tabah.


Hidup ini umpama langit. Kadangkala cerah, kadangkalanya mendung. Bukan selamanya kita gembira, ada masa kita berduka. Bersedia lah menghadapi kesukaran hidup. Kala itu jangan sesekali menyalahkan takdir. Terima segala cabaran dengan jiwa yang besar. Ya, kata-kata semangat untuk diri ku sendiri.

Angin laut benar-benar terapi buat diri ini. Segar benak fikiran dari belenggu yang bersarang. Segalanya dirungkaikan satu persatu. Moga kembalinya ke Kota Lumpur membawa pengertian dan harapan baru. Kuatkan hati ini melalui kesukaran hidup dengan sebaiknya. Ameen!


Saat ini juga ingatan pasti kepada seseorang. Insan yang baru dikenali dua bulan lepas. Tahu betapa rindunya kepada insan itu. Dicurahkan segala perhatian dan kasih sayang. Moga insan itu mengerti pengorbanan ini.

Bergembiralah wahai hati. Tabah dan sabar dengan ujian Tuhan. Doa dan pasrah..Ameen..