Tuesday, July 15, 2008

Antara Cinta dan Kasih

0 comments


Penat dan letih. Lesu lagi sugul. Perasaan dia hari ini. Bukan fizikal sahaja menjerit derita malah pemikiran juga dipasung lelah. Semahunya dia mahu berlalu pergi dan terus menyepi diri. Tujuannya tiada lagi hati yang berwasangka dan rasa seperti dipermain-mainkan.

Segalanya dipersembahkan seikhlas mungkin. Tiada niat yang terselindung. Kebaikan disampaikan secara jujur dan penuh hemah. Namun disalah ertikan. Dia rasa terjerat. Apakah salah dia bersikap begitu. Bagaimana pertimbangan manusia kepada situasi ini? Salahkah juga berbuat baik pada orang lain, terutamanya sahabat sendiri. Barangkali kita perlu mempelajari bagaimana mentafsir perlakuan kita dan orang lain. Menghormati individu yang punya prinsip.

Dia tidak berniat menabur cinta. Mesranya hanya sekadar kasih seorang teman dan sahabat. Ikatan ukhwah yang diutamakan. Tidak bermaksud ingin memiliki atau mengisi hati sesiapa yang sedang kesunyian dan kekosongan. Dek kerana menyulam dan memendam rasa, akhirnya ada hati yang terluka. Konon mesranya dia adalah bertujuan ingin berkasih, sedangkan tiada harapan yang dijanjikan. Bukan dia tidak sudi dan bersikap aneh, namun dirinya masih dalam keadaan trauma dan berduka. Kasih dia baru sahaja berlalu pergi, buat dia sangat berhati-hati saat ini.

Dia mohon dimaafkan. Barangkali ada yang terluka dengan keputusan dia. Baginya tiada cinta buat masa ini. Dia hanya mampu memberikan kemesraan dan kebaikan buat semua teman-temannya. Itu sahaja yang terbaik yang boleh dia lunaskan. Sampai seru pasti hatinya terbuka kembali untuk berkasih. Insyaallah. Jalani sebuah persahabatan dengan kegembiraan. Dia mahu terus bersahabat dalam situasi yang penuh ceria.

Dia mahu berehat buat seketika. Tidak mahu lagi terlalu beraktiviti setiap minggu. Dia perlu ruang untuk dirinya sendiri buat saat ini. Rehat dan fokus sepenuhnya pada kerjaya yang digalasnya.