Monday, March 31, 2008

Terkilan

0 comments

Terkilan. Ada perkara buat dia rasa begitu. Terbuku dalam hatinya. Disingkirkan rasa itu dengan berdiam diri. Mengundang dilema yang pastinya. Tercuit jua rasa sedih. Sedikit cuma tetapi pilu. Biarkanlah.

Dia baik-baik sahaja. Sampai waktu dia akan seperti sedia kala. Bila rasa itu menjauh pergi.

Friday, March 28, 2008

Dunia Baru

0 comments


Ada semangat yang sangat luar biasa menjelma di hati dia tatkala bingkas kelopak mata dari tidur subuh tadi. Perasaan yang belum pernah dirasainya sebelum ini. Sangat kuat, segar dan mendalam. Dia yakin itu adalah kata hatinya yang sangat benar, ikhlas dan tulus. Tiada penafian tentang ini, kerana itulah kebenaran yang dia akui. Dipanjat doa sejahtera hendaknya perjalanan hidup insan itu. Amalan biasa yang dia lakukan tanpa jemu. Menitis jernih air mata tanpa diminta. Sebak menahan rasa penuh pengertian.

Kisah semalam akan terus berlalu. Dia lupuskan dari benak ingatannya. Seolah ada harapan dan kehidupan baru yang ingin digapai oleh dia. Ya juga satu dunia baru berbekalkan tauladan dan pengalaman dari masa lampau. Itu intipati yang sangat berharga. Moga-moga akan jadi pedoman tatkala memerlukan.

Benar setiap yang pahit itu terselit jua yang manisnya. Pasti berkunjung saat bahagia. Insyaallah. Dia tetapkan hati dengan penuh yakin. Kerna nawaitu yang satu itu masih lagi menjadi azimatnya.

Syukur dia mengenali insan itu yang sangat besar jiwanya. Mereka ditakdirkan untuk berjumpa. Moga-moga berakhir dengan suatu kebaikan yang dicari. Dia akan terus mengorak langkah dengan kental, meski pelbagai onak dan duri yang menyelirati susur jalan kehidupan yang ditempuhinya. Kerna dia yakin ada insan itu yang sentiasa menemani bersama.

Thursday, March 27, 2008

Pengalaman Yang Mematangkan

0 comments

Tulus dari hati dia memohon maaf. Bukan sengketa yang dipinta. Janganlah merasa sangsi luahan dia. Dia mahu yang terbaik sahaja. Rasanya sudah ada sedikit perubahan pada dia. Mungkin itu belum cukup lagi. Usaha lagi sehingga jaya.

Dia ambil postitif semua perkara. Itu pegangan dia sekarang. Ingin jauhi segala sengketa dan fikiran yang buruk. Ada perkara yang lebih dipentingkan dalam kehidupan dia. Ada azam dan cita-cita baru. Ya, perlu dia laksana dan buktikan. Insyaallah.

Pengalaman mengajar dia semua ini. Moga-moga bertambah matang dia. Ambil peluang untuk lebih memahami lagi kehidupan insan itu. Semakin mencabar nampaknya. Tidak mengapa. Dia ikhlas sahaja. Bersefahamanlah wahai dua insan. Moga kehidupan lebih bahagia dan gembira. Ameen.

Usah Dipinta Yang Buruk Itu Berlaku

0 comments

Dia sendiri rasa tertekan khabar-khabar yang disampaikan. Tahu semua itu adalah nista dan dusta belaka. Tertancap utuh kepercayaan dia terhadap insan itu lagi. Namun apa yang berlaku hari ini seolah ada kelangsungan dari khabar-khabar itu. Buat dia tidak pasti akan kebenaran disebaliknya. Perasaan dia berkelana.

Lalu dia mengambil sikap berdiam diri membiarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Mungkin ini adalah metodologi yang terbaik, daripada timbulnya adegan bertikam kata. Akhirnya keadaan menjadi semakin buruk dan tiada penyelesaian. Bukankah itu lebih mendatangkan sengsara. Namun dia bersedia apa jua yang berlaku di masa depan. Persiapan mengahadapi saat-saat yang tidak terjangka oleh dia sebelum ini.

Percaya, dia tetap sama. Dia tidak meminta sesuatu yang buruk akan berlaku. Usah meminta keburukan yang sedia tahu akan mengundang kehancuran dan kemusnahan. Melerai masalah bukan juga mudah. Persis menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Mungkin mereka yang menabur nista itu kurang senang dengan kebahagiaan yang dibina oleh insan lain. Mahu melihat kebahagiaan itu musnah gara-gara perasaan hasad dengki yang meraja. Tapi percayalah, dia tidak akan sesekali menjauh hati dan berhajat untuk mengiyakan semua perkara-perkara buruk itu terjadi.

Dia doakan sahaja Tuhan akan memaafkan mereka semua. Kerna dia juga manusia. Tidak mampu membalas semua perbuatan buruk mereka. Dia tidak sesekali berdendam dan berharap mereka semua segera menghentikan angkara ini. Itu lebih afdal.

Wednesday, March 26, 2008

Dia Adalah Dia

0 comments

Menatap sekali lagi wajah itu, dia benar-benar rasa tenang. Meski hatinya sarat menanggung bermacam gelodak rasa. Kerna banyak khabar yang diketahuinya sejak akhir-akhir ini. Malas dia wujudkan perasaan itu dihadapannya. Dia mahu menikmati saat itu dalam keadaan yang gembira.

Dia syukur punya hati yang tulus. Sedari kecil diasuh oleh orang tuanya dengan sifat yang begitu. Meski dirinya bersedih dan diundang resah dia tetap lupakan itu semua demi kebaikan dan bahagia yang ingin dicari.

Apa jua yang terjadi dia tidak akan melupakan insan itu seumur hidupnya. Bagi dia, insan itu terlalu berharga buat diri dia. Walau ditakdirkan tidak lagi `bersama`, dia tidak akan sekali-kali melenyapkan ingatan pada insan itu. Setiap denyut nadinya mengalir bersama semangat itu. Dari mula hingga ke saat ini dan selamanya. Kerna hubungan itu sudah abadi dalam diri dia. Dia adalah dia. Mungkin tidak sama dengan yang lain.

Tuesday, March 25, 2008

Kesakitan

0 comments

Sujud terakhir aku bungkam. Bisa itu menyirap sehingga ke kepala. Rasa seperti mahu berpisah dari jasad. Bergoncang tubuh, mulut memuntahkan bisa itu lagi. Perit bagai duri yang terlekat di anak tekak.

Lemah tubuh. Tidak mampu berbuat apa. Hanya mampu terbaring menunggu mentari pagi muncul. Aku semakin risau. Sakit ini tidak mengenal waktu. Sampai tiba waktunya aku akan lemah dan menderita kesakitan.

Empat Bulan

0 comments

Pagi yang cerah hari ini. Hari ini juga genap empat bulan hubungan itu. Dia tidak lupa. Bila tibanya tarikh ini, dia gembira. Meski hatinya tersimpan pelbagai rasa dan rahsia. Alhamdulillah walau apapun yang berlaku dia tetap kuatkan hatinya.

Dia muhasabah diri. Kekurangan yang terzahir bukan dipinta. Dia juga manusia biasa. Adakalanya tersalah perbuatan dan kata. Sekurang-kurangnya dia berusaha memperbaiki diri. Badai yang melanda dalam hubungan itu dia hadapi juga dengan kekuatan yang ada. Berkat kesabaran dia masih bertahan. Apa jua yang mengundang kecewa dia simpan dan biarkan berlalu dan terus berlalu.

Dia hanya mampu berdoa dan berserah. Hati dia berbisik rindu. Sayangnya juga tiada sempadan dan berbelah bagi. Mohon angin lalu sampaikan ingatan tulus ikhlas. Adakah masih berbalas kasih itu? Dia menanti jawapan yang penuh bererti.

Monday, March 24, 2008

Hari-Hari Berlalu

0 comments

Hari-hari berlalu. Dia sepi. Ingatan tidak pernah kunjung padam. Meski dia ingin nokhtahkan harapan itu. Bekal kekuatan yang ada sekelumit cuma. Buat dia bertahan perasaan. Doa dia agar sejahtera. Meniti hari-hari yang penuh kesunyian. Tanpa hadir rasa yang pernah membuat dia gembira tiap saat dan ketika. Mengapa terjadi sebegini. Dia benar-benar merasai kehilangan permata yang pernah menerangi hatinya sejak mula dulu. Sedih dan meratap sayu. Tapi apakan daya. Dia terima seadanya. Sedar diri dia disisinya saat ini.

Cuti

0 comments

Dua hari bercuti diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Hari pertama ada temujanji dengan Ummi untuk berubat. Alhamdulillah bisa-bisa sakit itu keluar dengan banyaknya. Seminggu lepas aku benar-benar sengsara. Sakit itu menyerang segenap sendi dan ruang tubuh. Badan ku seolah lumpuh, rebah bila bisa itu meraja. Kepala ku kusut memikirkan perkara yang entah apa. Emosi juga meracau sehingga aku hampir tidak dapat mengawal diri.

Dengan izin Allah jua, aku lega sekarang. Lapang sudah dada dan fikiran. Sudah lama aku tidak gembira seperti ini. Kalau tidak aku hanya mampu bermurung sahaja. Duduk dirumah mengurung diri. Mahu keluar beriadah pun tidak selesa.

Semalam berkesempatan berjumpa teman-teman lama. Terisi juga waktu senggang dengan mereka. Peluang ini aku berkongsi cerita dan masalah. Rasa lepas juga beban di dada. Ada juga teman yang memahami.

Syukur sekurang-kurangnya aku hampir sihat. Mahu terus berubat dan tawakal kepada Allah.

Friday, March 21, 2008

Kecewa

0 comments

Tiada guna lagi sesalan. Degup jantungnya kembali sesak dan tidak seperti biasa. Hatinya sedih dan luluh.Ya, kali ini tamparan paling hebat bagi dia. Pilu hatinya hanya dia sahaja yang rasa. Dia terkilan dengan perubahan yang berlaku hari ini. Dia mengerti kerana apa terjadi begitu.

Entahlah, dia tidak mampu lagi bertahan. Semakin hari pun seakan menjauh. Hanya dia sahaja masih mengharap dan masih seperti dulu. Satu persatu harapan dia gugur dari genggaman. Dia tidak mahu mengharap apa-apa lagi. Baginya semuanya telah berakhir. Seakan sia-sia sahaja pengorbanan dia selama ini. Jika ini balasan yang dia terima.
Tiada mesra seperti dahulu. Berbeza pada saat bahagia. Semua itu hanya tinggal kenangan.
Dia pasrah sahaja. Sudah nasib dirinya. Dia mahu menenangkan fikiran. Dia kecewa.

Wednesday, March 19, 2008

Pulang

0 comments

Sahabat aku sudah pulang!! Lengkap rumah aku semalam dengan kepulangan sahabat ini dari negara orang. Hampir dua bulan lebih dia bekerja di luar negara, membawa cerita suka dan duka. Aku tahu bukan kepalang gembira hatinya saat bertemu kami.

Semenjak berpindah ke rumah ini, belum sempat dia menjejak kaki. Kami berempat semuanya di rumah ini. Teman sama-sama belajar di Borneo dahulu. Sememangnya kami rapat, saling mengenali. Tidak sangka kami tinggal sebumbung lagi. Begitulah kalau sudah ditakdirkan. Mereka ini muda lagi dari aku. Sudah ku anggap seperti adik aku sendiri semuanya.

Katanya hanya seminggu sahaja di rumah ini. Minggu depan ada tugasan lagi di luar negara. Kemungkinan tiga bulan lamanya. Aduh, kesian dia. ”Tidak mengapa masih muda, masa ini lah mahu bekerja sepuas-puasnya”, semangat dari aku. Dia gelak dan mengiyakan sahaja.



Tuesday, March 18, 2008

Sakit dan Lemah

0 comments

Rasa terpasung dek kesakitan yang dirasai. Mahu berdiri 10 minit pun aku sudah mengeluh sakit. Bisa kian menular setiap denyut nadi. Menggeletar tubuh seperti ada kuasa yang menggoncang.

Hari ini masuk hari kelima. Kesan sakit yang dirasai, badan terasa lemah dan sangat penat. Sudah tiga kali aku bungkam kerana pitam. Pagi tadi sekali lagi. Nasib rebah beralas bantal. Pandangan terasa gelap, kepala ku berpinar hebat. Entah mengapa kian menjadi-jadi kesakitan ini. Aku gagahkan juga untuk hidup seperti biasa. Tidak mahu ku turutkan sangat perasaan lemah itu. Kelak akan menjadi radang memakan diri.

Aku kerja juga hari ini. Walaupun sakit itu semakin memaksa diri. Mohon Tuhan beri kekuatan.

Monday, March 17, 2008

Hasad Dengki

0 comments

Apalah mereka ini mahukan? Dia sendiri tidak pasti mengapa mereka ini cuba mengganggu hidup dia. Cukup-cukuplah apa yang sudah dilakukan. Janganlah ada rasa hasad dengki dan memusnahkan hidup dia dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.

Dia doa sahaja pada Tuhan. Dijauhkan perasaan itu dan orang-orang yang bersifat demikian.

Saturday, March 15, 2008

Rindu Belaian

1 comments

Selama ini ingin ku ngerti sendiri
Entah apa saja yang kumahukan
Tiada petunjuk jalan
Biarpun apa terjadi semua kutempuhi

Mahunya biarku merasa dari mula
Biarkan semua cerita berlalu
Secara tiba-tiba
Inginku rasakan lagi semua kisah berlalu
Tak mungkin

Aku ingin merasakan belaian
Seperti yang kuidamkan
Di mana belaian
Yang kuimpikan berkunjung tiba
Seketika atau selamanya

Janji terukir antara dua hati
Hanya dibibir tanpa disedari
Rindu belaian
Di masa kesunyian
Mencengkam diri
Terdampar sepi
Bagaimanakah rasanya
Kau di hati hanya untuk sekali lagi

Friday, March 14, 2008

Dia Mohon

0 comments

Sedaya upaya mempertahankan hubungan itu. Sudah banyak dia beralah. Banyak juga perkara yang menyedihkan hati dia. Masakan tidak terguris. Tercalar sedikit pun tetap merasa pedih. Namun tetap dia tetap bersabar. Berkorban perasaan dia. Malas dia memanjangkan cerita. Khuatir akan mengeruhkan keadaan. Banyak hal yang dia belajar dari dari semua peristiwa itu. Namun sedikit pun tidak merubah hati dia. Tetap utuh dan setia.

Entahlah biar masa yang menentukan. Adakalanya rasa terkilan dan tersisih juga. Saat ini dia berdoa sahaja. Ya, hidup tidak selamanya bahagia. Umpama putaran roda kisahnya. Sekarang ini berada di bawah. Sudah tentu merasa kecewa. Mahu bangun kembali menggapai puncak. Dia mahu hidup gembira dan bahagia seperti dulu. Perlu pengorbanan dan usaha yang lebih. Yang penting tetapkan hati. Yakin dengan niat yang ikhlas.

Cuma satu saja pinta dia. Janganlah merasa jemu dan menjauh diri. Tautlah kembali apa jua yang terlerai. Dengan harapan hidup lebih ceria. Hubungan saling memerlukan. Bukalah pintu kemafaan seluas-luasnya. Moga ada kebahagiaan dan keberkatan menanti. Boleh kan? Terima kasih.

Minta pada Tuhan. Insyaallah Dia membantu.

Nya dan Aku

0 comments

Wajah manisnya aku rindu,
Kelibatnya aku tunggu,
Gurau nakalnya aku tersipu,
Mesranya aku terharu.

Gembiranya aku bahagia,
Tawanya aku ceria,
Sedihnya aku berduka,
Sakitnya aku nestapa.

Nasihatnya aku teladani,
Amarahnya aku menyepi,
Hatinya aku miliki,
Kasih sayangnya aku rasai.

Dirinya aku hormati,
Prinsipnya aku patuhi,
Karismanya aku kagumi,
Jiwanya aku yakini.

*Musim berlalu merubah situasi. Ingin rasai saat bahagia yang pernah dimiliki. Bisakah berulang kembali? Mohon dengan harapan hari ini.

Dekat

0 comments

Semakin dekat tarikh itu. Bersediakah? Apa juga yang berlaku, tempuh jua meski diri menjadi pertaruhan.

Moga-moga dipermudahkan segala usaha. Tawakal pada yang Esa.


Thursday, March 13, 2008

Mohon

0 comments

Tangan ditadah mohon sejahtera dan ketenangan jiwa. Resah dua tiga hari ini semakin parah. Tiada semangat untuk melakukan apa-apa. Khuatir jiwa semakin kacau.

Hanya DIA tempat mengadu. Sudahi bacaan itu dengan doa dan hajat. Mohon terhapus segala noda hitam dalam hati. Tertunduk menahan gelora rasa. Airmata tertahan, saat untuk dijatuhkan. Tumpah jua membasahi pipi.

Wednesday, March 12, 2008

Hati Ini

0 comments

Mendung pagi ini, semendung hati ini. Segeralah beredar awan kelabu. Moga ada sinar baru menunggu. Inilah takdir yang aku terima saat dan ketika ini.

Sudah puas ku biaskan sinar pedih itu dari relung hati ini. Dengan harapan ia akan pergi jauh, hilang dan tidak diminta untuk kembali lagi. Namun apakan daya ada jua yang tidak tertangkis, tertusuk dalam ruang yang paling dalam. Kesannya amat memeritkan. Berdarah dan berdarah kembali.

Hati mesti berjiwa besar. Kental dan utuh dalam apa jua keadaan. Tapi apalah daya manusia. Ada kelemahan yang tersembunyi. Ku lawan takdir ini sepuasnya dalam meniti setiap pergolakan hidup yang berjurang dan berliku. Tersadung jua ada ketikanya. Lemah dan lumpuh bila tiba masanya. Ku usaha juga mengheret meneruskan sisa perjalanan. Begitulah silih berganti seakan tidak mahu berakhir. Tahankah diuji?

Kisah yang masih panjang ini akan terus menyelusuri hidup. Yang pasti tiada seorang pun yang akan senang untuk melihat dan memandang. Biar diri ini sahaja yang menggalas beban derita itu. Supaya tiada siapa yang jemu dan rimas di sebalik kepayahan yang melanda. Bukan ku raih simpati atau meminta belas. Namun meminta biarlah pada yang sudi.
Setapak lagi rencana perlu dilakukan. Sudah tersemat dalam hati ini. Demi kebahagiaan diri dan insan yang dikasihi. Satu lagi pengorbanan yang pasti akan merubah segalanya. Ku pendam sahaja sehingga menjadi nyata. Yang pasti langkah pasti berlari jauh. Meleraikan ikatan yang tidak pernah terikat mahupun mengikat

Monday, March 10, 2008

Hatinya dan Hatiku

0 comments



Pada masa yang pernah ku singkirkan
Kedukaan yang ku buang jauh dari sudut hati
Pada waktu yang telah ku pinggirkan
Kesepian kerinduan yang datang silih berganti

Antara hatinya dan hatiku
Manakah yang ku rasakan perlu
Aku keliru dan masa terusan memburu
Membuat pilihan antara rindu dan sendu

Pilih hatinya hatiku terkecewa
Kerana kedukaan yang ku buang pastikan bertamu
Pilih hatiku hatinya tersirna
Dan kesepian dan kerinduan terusan memburu......


Buat teman dan sahabat:
Zaman budak hingusan dulu, Tadika Islam Bukit Baldwin, STTS, SMKHK, MTD, Kolej Mara Banting, Universiti Malaysia Sabah, Smart Modular Technologies, dan BioSynTech Sdn Bhd. Juga teman-teman di alam maya yang sudah ketemu dan belum ketemu dan insan-insan yang pernah bersama menjalin kasih. Salam sejahtera untuk anda semua.

Maaf Tuan

0 comments

Entah apa gerangan tuan ingin kembali lagi. Mahu menagih kasih lama? Jika itu hajat tuan abaikan sahaja. Sudah dia talkin rasa itu bertahun lamanya. Jika niat tuan baik dan ingin menitip kembali jalinan persaudaraan dia terima dengan hati terbuka. Tapi yang pasti hubungan persaudaraan itu tidak lebih dari yang terdahulu. Pilihan ada pada diri tuan.

Usah diungkit permasalahan lalu. Yang sudah terjadi biarkan jadi pengajaran dan pengalaman. Tiada guna lagi sesalan. Jangan ianya menghimpit diri tuan. Kembalinya tuan di tanah ini, sudah pasti mahu menyudahkan perkara yang tertangguh sekian lamanya. Maaf sudah terjawab saat terakhir dia melangkah pergi meninggalkan bumi perajurit itu. Dia harap tuan mengerti.

Tiada apa dipinta, moga sukses dengan kerjaya tuan. Negara memerlukan kepakaran tuan dalam menjaga keamanan negara. Itu yang perlu diutamakan. Hubungan dia dengan tuan biarlah sekadar sahabat. Sekali lagi maaf. Dia tidak boleh menjanjikan kebahagiaan seperti dulu. Sekurang-kurangnya tuan harus bersyukur, dia sudi menerima lagi diri tuan. Dia nekad dengan keputusan ini.

Sunday, March 9, 2008

Panggilan

3 comments

Kata dia aku ada membuat panggilan tiga kali. Walhal aku tidak berbuat begitu. Yang menjadi persoalan sekarang 1. Aku tidak kenal dia 2. Aku tidak kenal nombornya 3. Masa insiden berlaku aku sedang tidur, seorang sahaja di rumah ketika itu. Pelik bukan?

Pastikah kata-kata dia itu. Sampai saat ini aku masih berfikir realitinya. Macam-macam soalan pula yang ditanyakan oleh dia pada sms kemudiannya. Sengaja aku sembunyikan status diriku sebenarnya. Bukan apa aku tidak pasti siapa dia. Berikutan panggilan misteri bulan lepas buat aku berhati-hati. Aku tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku.

Macam-macam perkara aneh berlaku sekarang ini. Aku sendiri menjadi bingung. Biarlah tiada kepentingan juga bila difikirkan kembali.





Monday, March 3, 2008

Manual

0 comments

Yay! Aku berjaya! Dalam hati menjerit girang. ”Perfect!”, kata sahabat disebelah aku.

Begitulah kisah. Aku berjaya memandu kereta manual setelah tiga tahun tidak memijak pedal clutch. Semenjak membeli kereta yang aku pakai sekarang (auto car) tidak pernah-pernah aku mencuba untuk memandu kereta manual sekalipun. Memang sengaja aku membeli kereta automatik gearnya supaya memudahkan perjalanan. Sengaja juga aku menolak untuk memandu kereta manual dalam tempoh itu, dan kesannya aku kekok dan tidak berani bila dipinta untuk memandu.

Permulaannya agak sedikit kalut. Sudah lupa bagaimana mahu mengendalikan gear mengikut kelajuan. Begitu juga mahu mengimbangi pedal clutch dan gear sekali. Menitik keringat kerana cemas. Tetapi Alhamdullillah bila sudah serasi, semuanya bergerak lancar. Tiada apa yang perlu dibimbangkan, malah bertambah yakin selepas itu. Bagi sesetengah orang, ini perkara biasa dan remeh. Tiada apa yang perlu di kisahkan. Tetapi bagi aku, ini pengalaman yang sangat manis dan berharga.

Kesan daripada pengalaman ini, aku berpeluang memandu kereta baru abang aku (Nissan Grand Livina). Berjaya aku meyakinkan dia yang aku boleh memandu kereta manual juga akhirnya. Seronok bukan?

*Pengajaran : Jangan dilupakan barang yang lama bila sudah beroleh yang baru. Kelak suatu hari nanti yang lama itu juga yang dicari dan diguna kembali. Sudah menjadi lumrah kehidupan.