Friday, June 6, 2008

Terima Kasih Pengalaman dan Kenangan

3 comments


Hari terakhir aku menapakkan kaki di daerah ini. Suka bercampur duka. Aku tahu kepemergiaan aku ini lebih banyak mengembirakan hati ramai orang. Mungkin itulah hakikatnya. Bagi aku ini semua pengalaman. Terima kasih memberikan aku peluang sebegitu. Sekurang-kurangnya bertambah tabah aku dengan permainan duniawi yang penuh tipu daya.

Namun bukannya duka sahaja sifatnya. Jujurnya aku terima segala apa yang berlaku dengan redha. Aku bersyukur punya sahabat disekeliling yang sentiasa memahami segala derita perasaan yang aku tanggung sepanjang berada di daerah ini. Mereka yang sangat memahami. Begitulah sifat sahabat. Senang dan susah tetap bersama-sama. Persahabatan yang disulam bertahun-tahun itu sangat aku hargai. Aku sayang sahabat-sahabat aku.

Aku tidak pernah fikir apa yang jua yang berlaku. Aku anggap selama ini adalah rezeki. Namun semuanya ini adalah satu episod cerita sementara yang bisa aku kutip sebagai bekalan pengalaman hidup. Alhamdulillah segala ujian itu aku jalani dengan tabah. Jalan lurus dan benar terbuka dihadapan aku sekarang. Tidak sabar aku mahu melangkah dengan penuh rasa bangga. Aku yakin jika kita berlaku ikhlas kepada sesiapa, Allah akan permudahkan segala urusan hidup kita kelak.

Aku tidak kesal. Aku sedar dengan ketentuan ini. Pastinya tiada tersemat secuit rasa dendam pun. Aku tiada kuasa untuk membalasnya. Maha suci Allah jua yang selayaknya. Apa yang pasti terima kasih memperlakukan aku sebegini. Kita sesama manusia. Rambut sama hitam namun hati lain-lain juga. Tidak mengapalah. Mungkin ada hikmahnya.

Pastinya aku akan merindui bangunan merah bata berbumbung hijau ini. Begitu juga rumah empat tingkat berwarna biru itu. Hampir setengah tahun aku disini. Seolah sekelip mata ianya berlaku. Tapi terlalu banyak sejarah hidup yang tersimpan. Tidak terungkap di sini. Jatuh bangun mengharungi hidup dengan pelbagai dugaan. Semuanya menjadi lipatan peristiwa dan sejarah. Aku tidak akan lupa. Terima kasih kenangan.

Akhirnya, hidup aku kembali tenang dan ceria saat ini. Sudah lama aku tidak menghela nafas panjang sebegini. Hari ini berangkat pulang ke kampung halaman. Mahu berjumpa ayah dan ibu. Pastinya aku rindukan dakapan dan peluk cium mereka. Aduh! sebak hati aku. Tumpah jua titisan jernih di pipi ini. Bagai lepas sudah semua sengsara dan kepayahan yang tersimpan sekian lama.

Kepada mereka yang telah bersama-sama aku sepanjang berada di daerah ini aku mohon kemaafan yang setulusnya. Jika ada terguris rasa aku pinta mohon dimaafi. Aku tidak berniat untuk melukai hati sesiapa. Halal segala apa jua yang dimakan, minum, pemberian dan pakai. Kebaikan budi, keluhuran sanubari aku sanjungi sampai bila-bila. Ya Allah aku berdoa pada Mu moga diberkati mereka yang telah bersama dan membantu aku di sini.

Mahu berehat panjang. Episod baru akan bermula. Insyaallah aku akan bernafas di udara dan tapak halaman yang lebih menyegarkan selepas ini. Ameen.

Thursday, June 5, 2008

Kronologi 5 Jun 2008

0 comments

Rentetan dengan kenaikan harga minyak yang kian menggusarkan ramai hati rakyat. Kronologi ini akan terus berlarutan dan berpanjangan. Kali ini melonjak ke 78 sen seliter. Luahan perasaan rakyat Negara ini akan terus merintih dan sengasara. Maka kesannya pasti besar dan menggemparkan. Semalam stesen minyak depan rumah aku bagai ’ditawan’ bermula jam enam petang. Bagai pesta lagaknya.

Aku masih teringat satu teka-teki dari seorang pakcik berdarah Pakistan – Uncle Rashid. Hampir dua tahun teka-teki ini tidak berjawab. ”Mar apakah dia satu-satunya perkara itu akan terus naik dan tidak akan turun-turun?”. Dia tinggalkan persoalan itu, dan menyuruh aku mendapatkan jawapan setahun atau dua tahun selepas itu. Nah! Sekarang aku sudah ada jawapannya. Kenaikan harga minyak petrol!.

Dua tahun lepas,aku tidak pernah ambil pusing dengan keadaan sebegini. Harga minyak petrol naik. Naiklah. Tidak ada kena mengena dengan aku. Bukan ada kereta atau motosikal pun ketika itu. Senario hari ini, melatah juga aku dibuatnya. Sudah punya kenderaan sendiri. Sedikit sebanyak berasa geram juga. Orang bujangan seperti aku yang tidak punya komitmen berkeluarga, mungkin tidaklah memberi bebanan sangat. Tetapi bagaimana mereka yang sudah berkeluarga, ada anak bini yang perlu ditanggung. Tuntutan hidup sebegini pasti membuatkan mereka bertambah perit. Malang lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah. Mahu meneruskan kehidupan bagaimana? Berbekalkan sogokan duit rebat tunai setahun yang diberikan sekelumit cuma itu? Ringankah bebanan rakyat? Berbaloikah dengan kenaikan harga petrol yang sangat zalim ini? Sangat senteng pemikiran para pencetus idea jongos sebegini. Aduh! tolong lah Pak Menteri, kuncu-kuncu, anak menantu dan sesiapa sahaja terlibat. Beginikah pemimpin berjiwa rakyat? Mereka ini tidak sedikit pun rasa berasa goyah. Terus bertakhta disinggahsana kepimpinan. Wajah sahaja menampakkan keresahan. Semua itu hanya lakonan semata. Yang penting minyak kenderaan sendiri pun dibayar. Adil ke?

Dijamin harga barang tidak akan naik. Omongan yang pasti tidak akan berlaku. Dahulunya pada 28 Februari 2007, ketika harga petrol naik 30sen (RM1.92 seliter), barang-barang asas keperluan seperti tepung, minyak masak dan sebagainya naik juga walaupun dijanjikan tidak begitu. Mahu di kawal selia harga barang? Buktikan. Jangan sekadar memberi jaminan, sedangkan mahu menyejukkan hati rakyat yang sedang mendidih panas. Wawancara seorang pemberita TV3 dengan Pak Menteri yang penuh uban di kepala itu malam semalam bagaikan mimpi ngeri. Bukan itu sahaja. Impaknya kepada keperluan lain juga meningkat. Harga tambang bas sekolah dan awam, harga makanan dan sebagainya. Oh ya jangan lupa mulai 1 julai 2008 tarif elektrik juga naik. Baguslah, naiklah segala apa yang boleh dinaikkan. Yang penting naik jangan turun takhta!. Boleh ke kalau begitu?

Pengajaran yang bermakna. Buat kita manusia yang memilih kempimpinan sebegini. Jujurnya gaji sebulan RM3000-RM3500 tidak boleh apa yang hendak dibanggakan. Taraf kehidupan yang kian meningkat. Akurlah kepada senario pada hari ini. Hidup mesti diteruskan juga meski sukar bagaimana sekalipun. Namun jangan dilupa, kuasa ditangan kita. Mereka itu hanya mencorak, kita ada hak untuk mempertikaikan. Beruntunglah wahai Pak-Pak Menteri sekalian, kita-kita ini tidak pandai berpiket-piket. Tetapi mana tahu jika keadaan mendesak. Panas juga punggung nanti. Perlukah rakyat berubah sikap untuk mengubah cara hidup seperti yang disarankan? Umpama menunding jari kepada kita-kita ini. Jari yang empat lagi menunjuk kepada diri sendiri. Siapa yang perlu berubah dahulu? Kita-kita ini atau engkau-engkau wahai sekalian Pak Menteri. Fikir-fikirkanlah.
* Ramai-ramai lah kita guna gas asli (NGV) lepas ni :)

Monday, June 2, 2008

Ceritera Yang Berpenghujung

4 comments



Ya, aku bingkas dari lamunan yang panjang. Usai saja mencecah angka enam bulan, aku kembali kepada diri ku yang asal. Syukur, aku masih punya kekuatan. Setelah habis aku persembahkan untuk perkara itu, aku bina daya hasil daripada kesilapan yang telah aku lakukan. Jujurnya aku telah terpesong dari niat asal. Menyesal pun tiada erti. Namun hari ini semuanya sudah berpenghujung. Mahu bersakit-sakitan di atas perkara itu? Sudah-sudahlah. Tiada siapa pun yang kasihan bila aku begini. Walhal hati mereka menjerit gembira.

Mungkin berkat kesabaran aku, Allah permudahkan segala urusan. Ironinya, pelbagai petanda dan petunjuk aku dibuka pintu hati sudahnya. Keadilan itu hadir juga. Yakin pada diri sendiri. Biarlah orang disekeliling cuba mempersendakan hidup aku, namun sedikit tiada memberi kesan. Hati aku sudah tegar. Manusia pelbagai ragam. Hapuslah sikap ego itu. Pastinya tidak kemana. Makan diri juga nantinya.

Aku menghitung hari. Hari-hari yang indah. Insyaallah. Fasa ketiga tahun ini sudah bermula. Mengejar sang pelangi yang berwarna-warni. Ceria hidupku!.