Monday, July 14, 2008

Rencam

0 comments

Persahabatan itu baru sahaja terjalin. Ada wujud perasaan yang berbunga harum. Dia tidak bertepuk sebelah tangan. Sahutan rasa itu berbalas juga. Siapa yang memulakan dahulu tidak pasti. Yang pastinya seolah ada persamaan rasa yang sangat luar biasa. Kata-kata manis menyulam bahagia.

Namun dikekangnya perasaan itu kerna bimbang dinista dengan tohmahan yang kejam. Seminggu berlalu. Berperang perasaan dia. Dibenaknya mengundang persoalan yang pelbagai macam. Tegakah dia menjadi seorang perampas sahabatnya sendiri? Sanggupkah dia melihat orang lain menderita pilu kerna perbuatan terlarang ini. Akhirnya dia nekad dengan keputusannya. Dia ingin sudahkan perkara ini dengan mengambil sikap mengundur diri. Dia tidak mahu rencam ini terus menghantui hidupnya. Pengalaman silam buat dia sangat dewasa. Syukur dia sangat berpendirian.

Pertemuan dirancang. Keputusan sudah berada teguh dalam hatinya. Cuma perlu diungkap dengan penuh yakin. Namun segalanya gagal. Saat itu segalanya terbongkar lebih awal tanpa dia sempat menyatakan pendiriannya. Dia dituduh dengan pelbagai kata-kata yang sangat hina yang tidak tahu betul atau salahnya. Seolahnya segala kesalahan itu berpunca dari dia. Dia hanya mampu mempertahankan diri berbekalkan kekuatan yang ada. Dia yakin dia berada pada posisi yang sangat jelas, meski dia mengakui jua melakukan kesilapan pada peringkat awalnya.

Akhirnya pertemuan lapan mata pun berlangsung, termasuk seorang ahli luar sebagai pendengar dan pemerhati yang setia. Dia rungkaikan segala kemelut dan kekusutan yang melanda itu. Disusun satu persatu sehingga jelas dan nyata. Yang salah dibetulkan, yang terselindung disingkap seterang-terangnya. Lalu disimpulkan dan disudahkan dengan suasana yang sangat harmoni. Dia mengambil sikap berlembut tetapi tegas. Alhamdulillah dia akhiri pertemuan itu dengan menyatakan pendiriannya.

Apa yang berlaku benar-benar pengajaran yang sangat berguna. Jangan biarkan perasaaan dipermainkan oleh sesiapa pun. Sememangnya manis dan sangat indah. Namun sekiranya ia lebih mengundang derita kepada diri dan orang lain, jalan terbaik adalah berundur diri dan kuburkan sahaja segala-galanya. Tidak sanggup rasanya meruntuhkan tugu persahabatan yang baru terjalin ini dek insiden yang sangat terkesan ini.