Tuesday, July 22, 2008

Kantor Baru

0 comments

cubical aku...berselerak...hehehe..


Sudah sebulan setengah aku di kantor baru ini. Alhamdulillah aku sangat selesa dan gembira. Episod resah dan duka sepanjang lima purnama lalu segalanya terubat kini. Hari ini aku masih di sini, meski ada tawaran kerja dari dua syarikat besar yang lain. Namun cinta aku kepada bidang ini sangat-sangat mendalam.

Aku sudah biasa melakukan tugasan ini. Aku ditempatkan di bahagian Industri dan Bioteknologi. Terlibat dalam industri yang melibatkan R&D (Research and Development) sangat-sangat mencabar jati diri. Meski keterlibatannya itu tidak secara langsung, namun aku merupakan orang perantara kepada para penyelidik, pensyarah dan para doktor untuk menjayakan misi kajian yang dijalankan. Persiapan dari segi mental, PR (public relationship) dan ilmu benar-benar dititik beratkan. Aku berpendapat proses pembelajaran itu adalah berterusan, dan kerjaya aku ini menuntut aku perlu menguasai segala ilmu yang berkaitan sains dan teknologi secara total.

Sebelum ini aku lebih terdedah kepada kajian dalam bidang molecular. Satu bidang kajian yang sangat meluas dan diamalkan oleh ramai penyelidik pada hari ini. Tetapi di kantor baru ini aku lebih banyak terlibat dalam bidang mikrobiologi. Salah satu elemen lain dalam kajian yang dijalankan. Tidaklah terlalu asing kepada aku. Semasa mengaji dulu, ini merupakan subjek kegemaran aku. Mengingati nama-nama mikrob seperti Salmonella, E.coli, dan Staphylococus (sekadar mengambil beberapa contoh) sudah lama tercerna dalam benak ini. Sesungguhnya di sini, aku lebih dapat memahami bidang ini secara mendalam berdasarkan latihan dan proses pembelajaran yang dibekalkan.

Aku hargai tiap apa yang telah ditentukan oleh Dia dalam perjalanan hidup ku ini. Bersikap positif dan sentiasa merebut peluang yang terbaik untuk hidup. Pengalaman mengajar aku menghargai nilai kehidupan sebenar.