Friday, April 18, 2008

Pak Ngah

0 comments


Bila terkenang tarikh semalam, ingatan aku pasti kepada seseorang. Tarikh pemergian orang yang aku sayang dan tidak akan aku lupakan sepanjang hayatku ini. Dia yang sudah ku anggap seperti bapa sendiri. Arwah Jamaluddin Serbaini. Lebih mesra di panggil Pak Ngah sahaja. Sudah sebelas tahun dia pergi. Sudah bertahun rupanya. Tetapi ingatan bersama arwah masih segar.

Pak Ngah orang kurang upaya. Asalnya dia seorang sihat sejahtera. Kejadian yang menimpanya sewaktu menebang pokok dibelakang rumah telah merubah segalanya. Pegangannya terlepas dari tempat berpaut, lalu jatuh bungkam rebah ke bumi. Bukan alang-alang tingginya, mahu setinggi pohon kelapa. Menurut cerita arwah lagi, kepalanya terhempas dahulu mencecah tanah dan malang lagi batang pokok yang ditebangnya pula menghempap diri sejurus itu. Betapa ngeri bila dibayangkan. Kesannya arwah mengalami patah tulang belakang, dan menyebabkan sarafnya rosak. Arwah lumpuh dari paras bahu hingga ke bawah tubuh. Tubuh gagal berfungsi dan arwah hanya mampu terbaring dan tidak boleh menggerakkan kaki. Hanya tangan sahaja yang berfungsi.

Arwah merupakan seorang guru, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur setahun ketika itu. Disebabkan arwah tidak mampu memberikan nafkah zahir dan batin, dia terpaksa berpisah dengan isterinya. Alangkah sayu dan hibanya rasa. Baru beberapa tahun berumahtangga terpaksa menempuh dugaan sebesar ini. Bapa dan ibu arwah sudah tiada. Dia dijaga oleh seorang adiknya. Adiknya itulah yang menjaga arwah Makan, minum, membersih diri dia yang menguruskannya.

Aku mula mengenali arwah Pak Ngah sedari umur sembilan tahun. Baru sekolah darjah tiga. Rumah arwah bersebelahan sahaja dari rumah aku. Kami tiada ikatan persaudaraan sebenarnya. Itulah sebab aku tidak mengenali arwah sejak kecil. Lagipun arwah hanya duduk dirumah sahaja.

Zaman kanak-kanak, aku memang seorang yang sangat lasak. Biasalah budak-budak. Main sahaja tahunya, tiada masa mahu menelaah pelajaran. Disebabkan itu, mak membawa aku bertemu arwah Pak Ngah. Aku diminta untuk pergi belajar dengan dia. Lepas waktu pulang sekolah aku mesti belajar dengan arwah. Kira seperti tuisyen la. Disebabkan arwah seorang guru sebelum ini tiada masalah untuk dia mengajar. Lagi pun bukan aku seorang belajar di rumah arwah, ada ramai lagi kawan-kawan aku ketika itu. Dalam keadaan terbaring dia melakukan. Kesian juga bila melihatnya. Tetapi dia gembira sahaja mengajar kami sebegitu.

Disebabkan rumah kami yang berdekatan. Hari-hari aku boleh datang belajar. Tidak kira pagi, petang atau malam. Kebiasaan itu menyebabkan aku menjadi sangat rapat dengan arwah. Aku akan tidur dirumah arwah dan menemani dia tidur. Kata arwah sejak aku rapat dengannya ada teman berbicara setiap malam. Sebelum tidur arwah akan memberikan bermacam-macam nasihat dan cerita-cerita pengalaman sepanjang hidupnya. Aku sudah dianggap seperti anak kandung, tempat dia melepaskan rindu pada anak lelakinya. Bekas isteri dan anaknya tidak tinggal bersama. Mereka duduk di Kuala Lumpur dan sesekali datang melawat arwah. Hubungan mereka tidak putus sama sekali.

Rutin harian selepas pulang sekolah, aku akan ke rumah Pak Ngah. Belajar, membersihkan diri arwah dan mengambil air sembahyangnya setiap waktu solat. Bergilir-gilir dengan adik lelakinya mengambil tugasan itu setiap hari. Lazimnya aku akan pulang ke rumah hanya untuk mandi sahaja. Aku akan minta mak masak lebih selalunya. Aku boleh bekal dan makan sama-sama dengan arwah. Ada juga teman dia makan. Aku sedikit pun tidak kisah. Aku gembira dapat menolong arwah. Kalau dikenang kembali mahu tumpah air mata teringat kenangan-kenangan lepas bersama arwah. Aku ikhlas tiap apa yang aku lakukan. Meski arwah mahu mengupah kerja-kerja aku. Aku menolak, kerana dia lebih memerlukan wang untuk membeli ubat dan menampung hidup.

Setelah dua tahun, Alhamdulillah aku dapat keputusan cemerlang UPSR. Aku ditawarkan untuk bersekolah disekolah berasrama. Hati berbelah bahagi, mahu menerima atau menolak. Kerana aku memikirkan siapa yang mahu menjaga arwah. Meski arwah tidak pernah membantah dengan keputusan jika aku memilih untuk menerima tawaran itu. Setelah berbincang dengan keluarga, aku nekad hanya menyambung sekolah di sekolah harian biasa. Dalam erti kata lain, aku boleh terus menjaga arwah lagi. Gembira tidak kepalang.

Rutin harian tetap seperti biasa. Tanpa jemu terdetik dalam hati. Hari berganti hari sudah hampir tujuh tahun rupanya aku bersama arwah. Tanpa gagal aku lakukan semua itu. Perubahan pada Pak Ngah. Dia mulai sakit yang teruk. Kesan akibat terbaring lebih dua puluh tahun buat dia tidak mampu menanggung kesakitan Keadaan semakin parah, Pak Ngah perlu mendapat rawatan pakar. Pak Ngah dihantar ke Klang untuk mendapat rawatan hospital di sana. Itulah pertama kali aku berpisah dengan arwah. Rasa janggal dan resah menyelubungi diri aku saat itu. Sebelum berangkat pergi arwah ada berpesan pada aku. ”Jadilah manusia baik-baik, jangan lupa perintah Allah. Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik Mar”. Kata-kata itu masih terngiang lagi. Aku tidak pernah lupa. Sebak aku menahan rasa sedih.

Berjauhan buat aku semakin teringat pada arwah. Setiap hari aku akan cuba menghubungi bertanya khabar. Tiba saat hari aku menerima keputusan PMR. Syukur sekali lagi aku dapat keputusan yang cemerlang. Tidak sabar rasanya mahu menyampaikan berita gembira itu kepada Pak Ngah. Terus aku menelefon. Orang lain yang mengangkat. Tidak seperti biasa. Terus aku minta talian disampaikan kepada Pak Ngah. Dengan nada suara perlahan dia memberitahu Pak Ngah sudah meninggal dunia. Dada berdegup kencang. Luluh perasaan tidak terkata. Menangis aku ditepian itu semahu-mahunya. Slip keputusan terlucut dari pegangan. Terduduk dan terkilan teramat sangat.

Itu peristiwa sebelas tahun lalu. Seperti semalam sahaja berlaku. Yang pasti aku tidak pernah lupa pada arwah. Tiap kali tangan ini menadah ke langit, tidak pernah lupa memanjatkan doa restu moga rohnya dicucuri rahmat. Pemergian arwah satu kehilangan besar dalam hidup aku. Jasa baik dan kasih sayang yang dicurahkan aku tidak pernah lupa. Sedikit pun tidak pernak luak. Hakikatnya aku masih lagi terkilan. Sampai sekarang aku masih gagal untuk mengunjugi pusaranya di Klang. Itu adalah hajat pertama aku berpindah kerja di sini. Aku masih menanam cita-cita itu lagi. Insyallah aku akan tetap sampai ke sana nanti.

Kepada arwah Pak Ngah, aku doakan sekali lagi moga rohmu bahagia di alam sana. Al-Fatihah.

Kembali Semula

0 comments


Tersentak dari lamunan pagi itu. Rasa berat kepala menyelubungi diri masih lagi terasa sejak malam kelmarin. Lawan sahaja kesakitan itu, meski badan diheret rasa lemah yang teramat sangat. Masih berbekas lagi bisa-bisa jahat itu.

Sambil tangan didakapkan, teringat aku kepada laman ‘rumah’ ku ini. Hakikatnya aku pernah bernekad untuk tidak mahu meninggalkan catatan disini. Tetapi semangat itu masih ada. Zahirnya sudah ada catatan di laman yang baru. Tetapi seakan tiada daya untuk meneruskan. Terasa sepi dan penuh ‘misteri’ disitu. Hanya aku sahaja yang mengerti.

Aku hidupkan kembali auzora-fermentas. Rohnya memanggil aku saban hari untuk terus berada disini. Semangatnya masih ada lagi. Insyaallah aku gagahkan kembali. Apa jua yang berlaku, hadapi dengan tenang. Jangan gentar pada ketakutan. Allah swt itu maha adil dan kaya.

Yakin, apa jua kesulitan dan cabaran itu mematangkan hidup. Moga diri ini terus ampuh dan kental.