Friday, May 23, 2008

Kehilangan

4 comments

Kelibat dia tiada pagi semalam. Hairan ke mana pulak pergi. Lazimnya dia yang paling awal sampai. Pakcik Mie staff baru di kantor ini. Baru sebulan dia berkhidmat. Dia ditempat dibahagian iventori. Selalunya ada sapaan dari dia tiap pagi. Datang ke cubical aku bertanya khabar. Semalam tidak seperti biasa.

“Ada nampak Pakcik Mie tak?” Tanya aku pada Kak Mira. “Eh! Encik tak tau ke?. Pakcik Mie dah resign. Semalam dia last day. Ambil 24 hours notice. Dia kirim salam kat Encik dan minta maaf tak dapat jumpa Encik semalam”, terang Kak Mira.Terlopong. Terduduk aku saat itu. Rasa terkilan teramat sangat. Tidak dapat jumpa hari terakhir dia semalam.

Aku dan Pakcik Mie agak rapat semenjak dia mula berkhidmat. Aku banyak terhutang budi dengan dia. Dia lah yang membantu mengubati aku dari sakit misteri itu. Sekarang dengan izin Allah aku sihat dan pulih seperti biasa. Tiga kali rawatan secara berturut, sangat terkesan sekali. Bersyukur aku telah ’lepas’ dari sengsara itu.

Tapi kenapa dia tergesa-gesa berhenti?. Tidak pernah pula dia mengadu masalah, malah gembira katanya bekerja di sini. Cita-citanya mahu membawa anak dan isteri tinggal bersama. Keluarganya berada di Kelantan dan akan berhijrah tidak lama lagi setelah mendapat rumah di sini. Adakah disebabkan bebanan kerja? Mungkin juga masalah dalaman yang aku tidak ketahui. Aku perlu tahu mengapa. Hairan dan pelik.

Rasa terkilan masih menebal. Nasihatnya tidak pernah putus kepada aku. Ibarat seorang bapa. Aku sendiri memanggilnya Ayah Mie. Aku masih ingat lagi kata-kata dia dalam loghat Kelantan yang pekat:

“Ada sebab mengapa Allah aturkan hidup kita. Mengapa Ayah Mie bekerja sini dan adik sakit begini. Dengan ilmu yang Allah beri, Ayah Mie boleh tolong adik. Alhamdullilah adik sihat sekarang. Syukur kembali semangat buat kerja.”

Ada satu kenyataan lagi dari Ayah Mie yang tidak akan aku lupa sepanjang hidup. Namun biarlah ianya menjadi rahsia peribadi. Tidak terungkai di sini. Sesungguhnya ianya sangat-sangat terkesan dalam lubuk hati aku. Ya, Ayah Mie, aku telah menjauhi perkara itu!.

Kehilangan. Aku sangat rasa kehilangan...