Wednesday, March 12, 2008

Hati Ini

0 comments

Mendung pagi ini, semendung hati ini. Segeralah beredar awan kelabu. Moga ada sinar baru menunggu. Inilah takdir yang aku terima saat dan ketika ini.

Sudah puas ku biaskan sinar pedih itu dari relung hati ini. Dengan harapan ia akan pergi jauh, hilang dan tidak diminta untuk kembali lagi. Namun apakan daya ada jua yang tidak tertangkis, tertusuk dalam ruang yang paling dalam. Kesannya amat memeritkan. Berdarah dan berdarah kembali.

Hati mesti berjiwa besar. Kental dan utuh dalam apa jua keadaan. Tapi apalah daya manusia. Ada kelemahan yang tersembunyi. Ku lawan takdir ini sepuasnya dalam meniti setiap pergolakan hidup yang berjurang dan berliku. Tersadung jua ada ketikanya. Lemah dan lumpuh bila tiba masanya. Ku usaha juga mengheret meneruskan sisa perjalanan. Begitulah silih berganti seakan tidak mahu berakhir. Tahankah diuji?

Kisah yang masih panjang ini akan terus menyelusuri hidup. Yang pasti tiada seorang pun yang akan senang untuk melihat dan memandang. Biar diri ini sahaja yang menggalas beban derita itu. Supaya tiada siapa yang jemu dan rimas di sebalik kepayahan yang melanda. Bukan ku raih simpati atau meminta belas. Namun meminta biarlah pada yang sudi.
Setapak lagi rencana perlu dilakukan. Sudah tersemat dalam hati ini. Demi kebahagiaan diri dan insan yang dikasihi. Satu lagi pengorbanan yang pasti akan merubah segalanya. Ku pendam sahaja sehingga menjadi nyata. Yang pasti langkah pasti berlari jauh. Meleraikan ikatan yang tidak pernah terikat mahupun mengikat