Wednesday, September 3, 2008

Peristiwa I

0 comments


Sabtu 30 Ogos 2008
Sudah lama juga aku tidak pulang ke kampung. Sudah dua bulan. Lazimnya sebulan sekali adalah WAJIB untuk aku berbuat begitu. Sibuk kebelakangan ini. Cuti Merdeka lepas ambil kesempatan untuk pulang. Rehat tiga hari.

Kata Mak, janggal kalau anak bujangnya ini tidak balik. Dalam keluarga cuma dua orang lagi yang belum berkahwin. Aku dan adik bongsuku. Soalan “bila nak kahwin” dah bosan aku dengar. Rasa sengal juga anak telinga ni. Diasak soalan-soalan serupa bila berjumpa saudara-mara yang lain. Dalam hati ni memang nak kahwin sangat. Tapi belum ketemu jodoh barangkali. Mahu mencari pasangan yang ‘terbaik’ bukan mudah. Banyak kriteria yang perlu diambil. Mungkin aku ini, terlalu memilih barangkali.

Ahad 31 Ogos 2008
MERDEKA!!! Besar pengertiaannya. Bukan sahaja pada negara, diri juga perlu merdeka. Terasa juga ingin merdeka kan diri sendiri. Insyaallah aku cuba. Tentang apa? Biarlah aku seorang sahaja yang tahu.

Ada keraian malam itu di Bandar Tapah. Upacara bunga api dan macam-macam lagi. Aku tidak ikut serta melihat acara itu. Saat itu aku sedang diulit mimpi. Mimpi manis akan si ‘dia’.

Isnin 1 September 2008
Ramadhan Al-Mubarak datang lagi. Bulan penuh keberkatan. Hari pertama berpuasa tahun ini agak meriah. Hampir seluruh adik-beradik pulang ke kampung untuk meraikan bersama-sama. Kesempatan kali ini, aku menawarkan diri untuk memasak untuk juadah berbuka. Aku memang ada bakat memasak juga. Bukan mahu angkat bakul, tapi memang itu lah kenyataannya. Menu berbuka hari itu ialah gulai daging, kerabu pakis, sambal udang galah, gulai nenas ikan masin, ayam masak merah, mee goreng ayam dan bubur durian. Memang banyak. Tapi puas hati sebab ‘balas dendam’ sudah lama tak memasak.

Hajat lepas berbuka mahu pulang ke Kota Lumpur. Esok perlu bekerja. Tetapi disebabkan terlalu penat dan mungkin perut yang penuh lepas berbuka, buat aku tidak sedap badan. Kepala pun pening-pening. Jadi terpaksa balik esok harinya selepas sahur.