Thursday, June 5, 2008

Kronologi 5 Jun 2008

0 comments

Rentetan dengan kenaikan harga minyak yang kian menggusarkan ramai hati rakyat. Kronologi ini akan terus berlarutan dan berpanjangan. Kali ini melonjak ke 78 sen seliter. Luahan perasaan rakyat Negara ini akan terus merintih dan sengasara. Maka kesannya pasti besar dan menggemparkan. Semalam stesen minyak depan rumah aku bagai ’ditawan’ bermula jam enam petang. Bagai pesta lagaknya.

Aku masih teringat satu teka-teki dari seorang pakcik berdarah Pakistan – Uncle Rashid. Hampir dua tahun teka-teki ini tidak berjawab. ”Mar apakah dia satu-satunya perkara itu akan terus naik dan tidak akan turun-turun?”. Dia tinggalkan persoalan itu, dan menyuruh aku mendapatkan jawapan setahun atau dua tahun selepas itu. Nah! Sekarang aku sudah ada jawapannya. Kenaikan harga minyak petrol!.

Dua tahun lepas,aku tidak pernah ambil pusing dengan keadaan sebegini. Harga minyak petrol naik. Naiklah. Tidak ada kena mengena dengan aku. Bukan ada kereta atau motosikal pun ketika itu. Senario hari ini, melatah juga aku dibuatnya. Sudah punya kenderaan sendiri. Sedikit sebanyak berasa geram juga. Orang bujangan seperti aku yang tidak punya komitmen berkeluarga, mungkin tidaklah memberi bebanan sangat. Tetapi bagaimana mereka yang sudah berkeluarga, ada anak bini yang perlu ditanggung. Tuntutan hidup sebegini pasti membuatkan mereka bertambah perit. Malang lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah. Mahu meneruskan kehidupan bagaimana? Berbekalkan sogokan duit rebat tunai setahun yang diberikan sekelumit cuma itu? Ringankah bebanan rakyat? Berbaloikah dengan kenaikan harga petrol yang sangat zalim ini? Sangat senteng pemikiran para pencetus idea jongos sebegini. Aduh! tolong lah Pak Menteri, kuncu-kuncu, anak menantu dan sesiapa sahaja terlibat. Beginikah pemimpin berjiwa rakyat? Mereka ini tidak sedikit pun rasa berasa goyah. Terus bertakhta disinggahsana kepimpinan. Wajah sahaja menampakkan keresahan. Semua itu hanya lakonan semata. Yang penting minyak kenderaan sendiri pun dibayar. Adil ke?

Dijamin harga barang tidak akan naik. Omongan yang pasti tidak akan berlaku. Dahulunya pada 28 Februari 2007, ketika harga petrol naik 30sen (RM1.92 seliter), barang-barang asas keperluan seperti tepung, minyak masak dan sebagainya naik juga walaupun dijanjikan tidak begitu. Mahu di kawal selia harga barang? Buktikan. Jangan sekadar memberi jaminan, sedangkan mahu menyejukkan hati rakyat yang sedang mendidih panas. Wawancara seorang pemberita TV3 dengan Pak Menteri yang penuh uban di kepala itu malam semalam bagaikan mimpi ngeri. Bukan itu sahaja. Impaknya kepada keperluan lain juga meningkat. Harga tambang bas sekolah dan awam, harga makanan dan sebagainya. Oh ya jangan lupa mulai 1 julai 2008 tarif elektrik juga naik. Baguslah, naiklah segala apa yang boleh dinaikkan. Yang penting naik jangan turun takhta!. Boleh ke kalau begitu?

Pengajaran yang bermakna. Buat kita manusia yang memilih kempimpinan sebegini. Jujurnya gaji sebulan RM3000-RM3500 tidak boleh apa yang hendak dibanggakan. Taraf kehidupan yang kian meningkat. Akurlah kepada senario pada hari ini. Hidup mesti diteruskan juga meski sukar bagaimana sekalipun. Namun jangan dilupa, kuasa ditangan kita. Mereka itu hanya mencorak, kita ada hak untuk mempertikaikan. Beruntunglah wahai Pak-Pak Menteri sekalian, kita-kita ini tidak pandai berpiket-piket. Tetapi mana tahu jika keadaan mendesak. Panas juga punggung nanti. Perlukah rakyat berubah sikap untuk mengubah cara hidup seperti yang disarankan? Umpama menunding jari kepada kita-kita ini. Jari yang empat lagi menunjuk kepada diri sendiri. Siapa yang perlu berubah dahulu? Kita-kita ini atau engkau-engkau wahai sekalian Pak Menteri. Fikir-fikirkanlah.
* Ramai-ramai lah kita guna gas asli (NGV) lepas ni :)