Monday, February 25, 2008

Gugusan Terima Kasih


Sudah dua hari tidak bertandang ke 'rumah' ini. Sengaja dihalkan begitu. Ku tunggu hari ini baru mencoret. Menambah koleksi entri yang sedia ada. Terkisah kenangan bila menjengah waktu silam nanti.

Dua hari lepas ulangtahun kelahiran ku (23 Februari 2008). Tiada apa yang istimewanya untuk tahun ini. Tiada kejutan yang luar biasa yang terjadi. Lazimnya setiap tahun aku 'dikenakan' dengan tragedi yang pelik-pelik yang direncana oleh teman-teman. Tahun ini aku terselamat. Bagus juga. Kalau tidak lunyai diri ini diperlakukan macam-macam. Ku senyum sendiri bila terkenang detik itu. Mungkin sudah menjengah umur-umur sebegini sudah tidak layak untuk disambut secara meriah sebegitu. Bagi ku ingatan dan ucapan selamat sudah memadai. Usai sahaja waktu merangkak melepasi jam 12:00 pagi, tidak putus-putus kantung inbox handphone aku terisi sms ucapan selamat hari jadi. Ucapan terima kasih kembali buat kalian - keluarga, teman, sahabat dan 'dia'. Terima kasih atas ingatan dan hadiah yang diberi. Syukur.

Tertumpah air mata ini di pagi itu. Mendengar suara ibu di kampung. Ucap selamat kerana telah melahir dan membesarkan anakmu ini sebaiknya. Alhamdulillah ku punya ibu yang terbaik. Tak sabar katanya menunggu kepulanganku jumaat ini. Ada majlis untuk aku katanya. Sudah menjadi kebiasaan saban tahun pasti ada sambutan bersama keluarga.

Baru semalam lidah ini menikmati kek hari jadi. Aku berpesta sarapan bersama keluarga abang angkat. Sudah ku anggap mereka seperti keluarga kandung ku sendiri. Kebetulan anak kecilnya menyambut hari lahir seminggu lepas. Jadi kami sambut bersama-sama semalam. Seronok juga. Situasi yang sangat berbeza dari sebelum ini.

Walau apa pun keadaannya, aku sungguh bersyukur dan gembira. Moga-moga hati ini terus ampuh menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Yang pasti pertambahan usia ini akan mendewasa dan mematangkan perjalanan hidup ku. Yakin Tuhan itu maha adil dan pemurah.

1 comments:

Anonymous said...

SELAMAT ULANG TAHUN
semoga sentiasa diberkati dan mendapat keberkatan dariNYA..