Tuesday, April 29, 2008
Sikap
Labels: madah
Monday, April 28, 2008
Kita
Ku singkap helaian diari lama ini. Masih jelas tulisan khat yang dicoret begitu cantik. Sebuah karangan yang biasa tetapi cukup indah dan meruntun hati. Lembaran lama dari seorang sahabat yang menyepi entah di mana.
Kita berjumpa kerana takdir,
Kita berkawan kerana kasih sayang,
Kita bersama kerana hati,
Kita berpisah kerana cita-cita,
Kita kekal kerana kuatnya ukhwah,
Kita bergaduh kerana harga sebuah ikatan,
Tapi yang paling penting semuanya kerana Allah,
Bukan mudah untuk berkawan,
Bukan mudah untuk kekalkan,
Bukan mudah untuk teruskan,
Satu lakaran hati,
Satu rahsia rasa,
Bagi insan yang daif,
Yang mempunyai sejuta maksud,
Pada jiwa yang memahami..
Dedikasi untuk semua teman, sahabat dan saudara ku. Menyayangi tanpa memiliki apakah maksudnya?
Labels: puisi
Thursday, April 24, 2008
Budi
Aku masuk semula ke dalam kereta. Tenangkan hati dan berehat sebentar. Memikirkan apa yang perlu aku buat dengan tayar pancit itu. Telefon dua tiga sahabat lain kalau-kalau mereka dapat datang menolong. Semuanya tidak berjawab. Sedang sibuk barangkali.
Bingkas aku terus mendapatkan tayar spare di bonet belakang. Ku cari pula alatan lain seperti spanar tayar dan jack. Tiada dalam peti alatan. Terus teringat, kesemua alatan tersebut tertinggal di rumah. Lupa mahu meletakkan semula disitu. Termanggu aku di tepian jalan yang penuh dengan kereta yang lalu lalang..
Panas terik terus memancar. Peluh mula menitik. Aku perlu buat sesuatu. Tidak mahu tersadai lama disitu. Berdoa moga permudahkan segala urusan.
Sedang asyik termenung memikirkan apa yang perlu dibuat, tiba-tiba datang sang satria kelabu menghampiri ke arah aku. Keluarlah dia dari keretanya itu. Seorang lelaki lagak seperti pegawai kerajaan (tertera nama dan kementerian pada tag yang tergantung di lehernya). Berjabat tangan sejurus itu. “Kereta kenapa?. Tayar pancit ke?”, soal dia seolah sudah tahu. “Ya”, ringkas aku menjawab. Dia terus bertanya lagi. “Nak I tolong ke?”. ”Boleh gak. Cuma I nak pinjam spanar tayar dan jack ja. Yang lain takpa I boleh buat sendiri”. Aku menjawab. ”Ok, I ada semua benda tu, tak palah I tolong sekali”. Dia mempelawa diri. Berbisik aku dalam hati. Baik betul mamat ni nak tolong aku. Biarlah niat dia baik nak menolong. Bagus juga.
”Alhamdulillah siap”, senyum puas aku, tayar pancit sudah diganti. Meski tayar spare, sementara pergi ke bengkel untuk diganti tayar yang baru. ”Thanks tolong, kalau tak susah jugak I tadi”, ucap aku. ”Small matter lah”, jawab dia sambil senyum. Ku hulurkan note RM50. Dia menolak, katanya dia ikhlas membantu.
Hujan turun mengakhiri. Berjabat tangan sekali lagi sebagai ucapan terima kasih. Insyaallah jumpa lagi. Begitulah, orang berbudi kita berbahasa. Terima kasih diucapkan kepada saudara Azmin yang membantu aku semalam.
Labels: realiti
Tuesday, April 22, 2008
Jangan Sesali
Terlepas sebening rasa
Hangat membara sudah sampai destinasinya
Temui titik yang selama ini dinanti
Terhenti tanpa simpati
Menyelusuri dedenai beronak itu
Meski digagahi rasa yang kian usai
Gementar dan teroleng
Tanpa sepicing mengundang kecewa
Kesan adanya semua ini
Buat diri mengerti akhirnya
Pengorbanan itu seakan tiada apa
Jangan sesali takdir Ilahi
Usah dimimpi yang berlalu pergi
fermentas_08
Labels: puisi
Friday, April 18, 2008
Pak Ngah
Pak Ngah orang kurang upaya. Asalnya dia seorang sihat sejahtera. Kejadian yang menimpanya sewaktu menebang pokok dibelakang rumah telah merubah segalanya. Pegangannya terlepas dari tempat berpaut, lalu jatuh bungkam rebah ke bumi. Bukan alang-alang tingginya, mahu setinggi pohon kelapa. Menurut cerita arwah lagi, kepalanya terhempas dahulu mencecah tanah dan malang lagi batang pokok yang ditebangnya pula menghempap diri sejurus itu. Betapa ngeri bila dibayangkan. Kesannya arwah mengalami patah tulang belakang, dan menyebabkan sarafnya rosak. Arwah lumpuh dari paras bahu hingga ke bawah tubuh. Tubuh gagal berfungsi dan arwah hanya mampu terbaring dan tidak boleh menggerakkan kaki. Hanya tangan sahaja yang berfungsi.
Arwah merupakan seorang guru, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur setahun ketika itu. Disebabkan arwah tidak mampu memberikan nafkah zahir dan batin, dia terpaksa berpisah dengan isterinya. Alangkah sayu dan hibanya rasa. Baru beberapa tahun berumahtangga terpaksa menempuh dugaan sebesar ini. Bapa dan ibu arwah sudah tiada. Dia dijaga oleh seorang adiknya. Adiknya itulah yang menjaga arwah Makan, minum, membersih diri dia yang menguruskannya.
Aku mula mengenali arwah Pak Ngah sedari umur sembilan tahun. Baru sekolah darjah tiga. Rumah arwah bersebelahan sahaja dari rumah aku. Kami tiada ikatan persaudaraan sebenarnya. Itulah sebab aku tidak mengenali arwah sejak kecil. Lagipun arwah hanya duduk dirumah sahaja.
Zaman kanak-kanak, aku memang seorang yang sangat lasak. Biasalah budak-budak. Main sahaja tahunya, tiada masa mahu menelaah pelajaran. Disebabkan itu, mak membawa aku bertemu arwah Pak Ngah. Aku diminta untuk pergi belajar dengan dia. Lepas waktu pulang sekolah aku mesti belajar dengan arwah. Kira seperti tuisyen la. Disebabkan arwah seorang guru sebelum ini tiada masalah untuk dia mengajar. Lagi pun bukan aku seorang belajar di rumah arwah, ada ramai lagi kawan-kawan aku ketika itu. Dalam keadaan terbaring dia melakukan. Kesian juga bila melihatnya. Tetapi dia gembira sahaja mengajar kami sebegitu.
Disebabkan rumah kami yang berdekatan. Hari-hari aku boleh datang belajar. Tidak kira pagi, petang atau malam. Kebiasaan itu menyebabkan aku menjadi sangat rapat dengan arwah. Aku akan tidur dirumah arwah dan menemani dia tidur. Kata arwah sejak aku rapat dengannya ada teman berbicara setiap malam. Sebelum tidur arwah akan memberikan bermacam-macam nasihat dan cerita-cerita pengalaman sepanjang hidupnya. Aku sudah dianggap seperti anak kandung, tempat dia melepaskan rindu pada anak lelakinya. Bekas isteri dan anaknya tidak tinggal bersama. Mereka duduk di Kuala Lumpur dan sesekali datang melawat arwah. Hubungan mereka tidak putus sama sekali.
Rutin harian selepas pulang sekolah, aku akan ke rumah Pak Ngah. Belajar, membersihkan diri arwah dan mengambil air sembahyangnya setiap waktu solat. Bergilir-gilir dengan adik lelakinya mengambil tugasan itu setiap hari. Lazimnya aku akan pulang ke rumah hanya untuk mandi sahaja. Aku akan minta mak masak lebih selalunya. Aku boleh bekal dan makan sama-sama dengan arwah. Ada juga teman dia makan. Aku sedikit pun tidak kisah. Aku gembira dapat menolong arwah. Kalau dikenang kembali mahu tumpah air mata teringat kenangan-kenangan lepas bersama arwah. Aku ikhlas tiap apa yang aku lakukan. Meski arwah mahu mengupah kerja-kerja aku. Aku menolak, kerana dia lebih memerlukan wang untuk membeli ubat dan menampung hidup.
Setelah dua tahun, Alhamdulillah aku dapat keputusan cemerlang UPSR. Aku ditawarkan untuk bersekolah disekolah berasrama. Hati berbelah bahagi, mahu menerima atau menolak. Kerana aku memikirkan siapa yang mahu menjaga arwah. Meski arwah tidak pernah membantah dengan keputusan jika aku memilih untuk menerima tawaran itu. Setelah berbincang dengan keluarga, aku nekad hanya menyambung sekolah di sekolah harian biasa. Dalam erti kata lain, aku boleh terus menjaga arwah lagi. Gembira tidak kepalang.
Rutin harian tetap seperti biasa. Tanpa jemu terdetik dalam hati. Hari berganti hari sudah hampir tujuh tahun rupanya aku bersama arwah. Tanpa gagal aku lakukan semua itu. Perubahan pada Pak Ngah. Dia mulai sakit yang teruk. Kesan akibat terbaring lebih dua puluh tahun buat dia tidak mampu menanggung kesakitan Keadaan semakin parah, Pak Ngah perlu mendapat rawatan pakar. Pak Ngah dihantar ke Klang untuk mendapat rawatan hospital di sana. Itulah pertama kali aku berpisah dengan arwah. Rasa janggal dan resah menyelubungi diri aku saat itu. Sebelum berangkat pergi arwah ada berpesan pada aku. ”Jadilah manusia baik-baik, jangan lupa perintah Allah. Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik Mar”. Kata-kata itu masih terngiang lagi. Aku tidak pernah lupa. Sebak aku menahan rasa sedih.
Berjauhan buat aku semakin teringat pada arwah. Setiap hari aku akan cuba menghubungi bertanya khabar. Tiba saat hari aku menerima keputusan PMR. Syukur sekali lagi aku dapat keputusan yang cemerlang. Tidak sabar rasanya mahu menyampaikan berita gembira itu kepada Pak Ngah. Terus aku menelefon. Orang lain yang mengangkat. Tidak seperti biasa. Terus aku minta talian disampaikan kepada Pak Ngah. Dengan nada suara perlahan dia memberitahu Pak Ngah sudah meninggal dunia. Dada berdegup kencang. Luluh perasaan tidak terkata. Menangis aku ditepian itu semahu-mahunya. Slip keputusan terlucut dari pegangan. Terduduk dan terkilan teramat sangat.
Itu peristiwa sebelas tahun lalu. Seperti semalam sahaja berlaku. Yang pasti aku tidak pernah lupa pada arwah. Tiap kali tangan ini menadah ke langit, tidak pernah lupa memanjatkan doa restu moga rohnya dicucuri rahmat. Pemergian arwah satu kehilangan besar dalam hidup aku. Jasa baik dan kasih sayang yang dicurahkan aku tidak pernah lupa. Sedikit pun tidak pernak luak. Hakikatnya aku masih lagi terkilan. Sampai sekarang aku masih gagal untuk mengunjugi pusaranya di Klang. Itu adalah hajat pertama aku berpindah kerja di sini. Aku masih menanam cita-cita itu lagi. Insyallah aku akan tetap sampai ke sana nanti.
Kepada arwah Pak Ngah, aku doakan sekali lagi moga rohmu bahagia di alam sana. Al-Fatihah.
Labels: memori
Kembali Semula
Sambil tangan didakapkan, teringat aku kepada laman ‘rumah’ ku ini. Hakikatnya aku pernah bernekad untuk tidak mahu meninggalkan catatan disini. Tetapi semangat itu masih ada. Zahirnya sudah ada catatan di laman yang baru. Tetapi seakan tiada daya untuk meneruskan. Terasa sepi dan penuh ‘misteri’ disitu. Hanya aku sahaja yang mengerti.
Aku hidupkan kembali auzora-fermentas. Rohnya memanggil aku saban hari untuk terus berada disini. Semangatnya masih ada lagi. Insyaallah aku gagahkan kembali. Apa jua yang berlaku, hadapi dengan tenang. Jangan gentar pada ketakutan. Allah swt itu maha adil dan kaya.
Yakin, apa jua kesulitan dan cabaran itu mematangkan hidup. Moga diri ini terus ampuh dan kental.
Labels: realiti
Monday, April 7, 2008
Salam Akhir
Syukur aku berkesempatan untuk mencoret disini lagi. ‘Rumah’ yang aku paksikan atas dasar cinta dan sayang kepada diriku sendiri. Aku luahkan segalanya tanpa ada rasa prejudis dan penuh keikhlasan.
Tahun ini, adalah tahun paling mencabar dalam hidupku. Penggal pertama sudah berakhir. Pelbagai peristiwa duka yang tidak pernah aku fikir dan jangka akan berlaku. Ya, ini semua ini adalah ujian yang perlu aku tempuh. Sehingga ke hari ini aku terus berjuang untuk ini. Tanpa jemu dan berpatah arang.
Rentetan dengan kejadian-kejadian ini, aku abadikan dalam entri-entri ini. Sebagai medium untuk melepaskan segala yang tersarang dalam lubuk hati. Dengan harapan perasaan menjadi lebih tenang.
Akui duka yang mendatang itu lebih banyak dari yang gembiranya. Jujur, aku mahu semua ini berakhir dan lupus dari pemikiran. Segalanya ku jadikan pedoman dan pengajaran yang sangat berharga. Aku ingin bina hidup baru yang lebih aman, adil dengan diriku sendiri, penuh cita-cita dan keazaman. Hapuslah kesedihan, keresahan, kemarahan, kemurungan dan segala apa yang tidak baiknya.
Maka, aku nyatakan ‘rumah’ ini akan ku kusemadi dan talkinkan. Berat hati yang tidak tertanggung rasanya. Pengorbanan sekali lagi yang aku gagaskan untuk kebaikan bersama. Insyaallah. Bukan hanya untuk diriku sendiri, juga untuk mereka-mereka yang mungkin tidak senang dengan kehadiran ‘rumah’ ini.
Aku tidak berakhir dan berhenti disini. Insyaallah akan aku bina ‘rumah’ baru yang lebih baik. Dengan suasana yang lebih segar dan tenang. Tiada pergolakan dan lebih bermuhasabah. Bertemu nanti di ruang baru, sahabat-sahabat baru, dan idea-idea baru.
Pada auzora-fermentas ku sayang, maafkan aku di atas keputusan ini. Aku tidak sama sekali akan melupakan mu dalam lipatan sejarah hidupku. Kau permulaan hidupku disini. Aku pasti kau akan lebih aman bersemadi. Terima kasih kerana menjadi keluarga aku selama ini. Jasamu dikenang.
Aizat - Hanya Kau Yang Mampu
Ku cuba redakan relung hati
Bayangmu yang berlalu pergi
Terlukis di dalam kenangan
Bebas bermain di hatiku
Cerita tentang masa lalu
Cerita tentang kau dan aku
Kini tinggal hanya
abadi di dalam hatiku
Harusnya takkan ku biarkan engkau pergi
Membuat ku terpuruk rasa ingin mati
Derita yang mendera kapan akan berakhir
Hanya engkau yang mampu taklukkan hatiku
Aku cinta oooooooo
Aku cinta ooohhhhhh
Aku cinta oooooooo
Kumengerti perpisahan ini
Bukan kerana kau membenci
Tapi kasih yang pernah kuberi
Tiada lagi bersama...
Sering kala aku
Terlihatkanmu
Impian nan indah
Tersulam bahagia
Kuharungi hari demi hari
Bersama wajah tak mungkin akan kembali
Tapi hati masih tak terima
Ditinggalkan sengsara...
Keraguan ini bukanlah padamu
Perasaan hati masih rindu
Kekalutan ini hanyalah untukku
Tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku
Kehilangan...
Kehilangan mu...
Masih tercari-cari
Keraguan ini bukanlah padamu
Masih tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku
Kehilangan mu....
Friday, April 4, 2008
Mahu Bersabarkah Lagi?
Jam 11.30 pagi. Dia sedih dan terkilan. Adilkah dengan apa yang dia terima?. Kali ini dia benar-benar hampa. Perasaan dia kembali serik. Bagai tersiat dan terhiris rasanya. Mahu bersabarkah lagi? Dia seakan putus asa. Titik.
Wednesday, April 2, 2008
April Fool's Day
Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.
Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dari Sepanyol.
Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahawa mereka boleh belayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh dipelabuhan. Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan.
Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan menuju ke pelabuhan. Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini.
Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian. Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia.
Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri.
Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita. Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu. Rawahuttirmizi Illal Liqaq
Petikan dari Risalah Fikrah
Tuesday, April 1, 2008
Berderang
Berderang hati dia. Ada cahaya suci singgah melimpah ke setiap ruang. Gembira tiada kepalang. Rajuk hatinya sudah padam.
Layan sahaja. Janji ceria sahaja hidup dia. Terima kasih wahai pujangga jiwa.