Friday, June 6, 2008

Terima Kasih Pengalaman dan Kenangan

3 comments


Hari terakhir aku menapakkan kaki di daerah ini. Suka bercampur duka. Aku tahu kepemergiaan aku ini lebih banyak mengembirakan hati ramai orang. Mungkin itulah hakikatnya. Bagi aku ini semua pengalaman. Terima kasih memberikan aku peluang sebegitu. Sekurang-kurangnya bertambah tabah aku dengan permainan duniawi yang penuh tipu daya.

Namun bukannya duka sahaja sifatnya. Jujurnya aku terima segala apa yang berlaku dengan redha. Aku bersyukur punya sahabat disekeliling yang sentiasa memahami segala derita perasaan yang aku tanggung sepanjang berada di daerah ini. Mereka yang sangat memahami. Begitulah sifat sahabat. Senang dan susah tetap bersama-sama. Persahabatan yang disulam bertahun-tahun itu sangat aku hargai. Aku sayang sahabat-sahabat aku.

Aku tidak pernah fikir apa yang jua yang berlaku. Aku anggap selama ini adalah rezeki. Namun semuanya ini adalah satu episod cerita sementara yang bisa aku kutip sebagai bekalan pengalaman hidup. Alhamdulillah segala ujian itu aku jalani dengan tabah. Jalan lurus dan benar terbuka dihadapan aku sekarang. Tidak sabar aku mahu melangkah dengan penuh rasa bangga. Aku yakin jika kita berlaku ikhlas kepada sesiapa, Allah akan permudahkan segala urusan hidup kita kelak.

Aku tidak kesal. Aku sedar dengan ketentuan ini. Pastinya tiada tersemat secuit rasa dendam pun. Aku tiada kuasa untuk membalasnya. Maha suci Allah jua yang selayaknya. Apa yang pasti terima kasih memperlakukan aku sebegini. Kita sesama manusia. Rambut sama hitam namun hati lain-lain juga. Tidak mengapalah. Mungkin ada hikmahnya.

Pastinya aku akan merindui bangunan merah bata berbumbung hijau ini. Begitu juga rumah empat tingkat berwarna biru itu. Hampir setengah tahun aku disini. Seolah sekelip mata ianya berlaku. Tapi terlalu banyak sejarah hidup yang tersimpan. Tidak terungkap di sini. Jatuh bangun mengharungi hidup dengan pelbagai dugaan. Semuanya menjadi lipatan peristiwa dan sejarah. Aku tidak akan lupa. Terima kasih kenangan.

Akhirnya, hidup aku kembali tenang dan ceria saat ini. Sudah lama aku tidak menghela nafas panjang sebegini. Hari ini berangkat pulang ke kampung halaman. Mahu berjumpa ayah dan ibu. Pastinya aku rindukan dakapan dan peluk cium mereka. Aduh! sebak hati aku. Tumpah jua titisan jernih di pipi ini. Bagai lepas sudah semua sengsara dan kepayahan yang tersimpan sekian lama.

Kepada mereka yang telah bersama-sama aku sepanjang berada di daerah ini aku mohon kemaafan yang setulusnya. Jika ada terguris rasa aku pinta mohon dimaafi. Aku tidak berniat untuk melukai hati sesiapa. Halal segala apa jua yang dimakan, minum, pemberian dan pakai. Kebaikan budi, keluhuran sanubari aku sanjungi sampai bila-bila. Ya Allah aku berdoa pada Mu moga diberkati mereka yang telah bersama dan membantu aku di sini.

Mahu berehat panjang. Episod baru akan bermula. Insyaallah aku akan bernafas di udara dan tapak halaman yang lebih menyegarkan selepas ini. Ameen.