Dia baik-baik sahaja. Sampai waktu dia akan seperti sedia kala. Bila rasa itu menjauh pergi.
Monday, March 31, 2008
Terkilan
Dia baik-baik sahaja. Sampai waktu dia akan seperti sedia kala. Bila rasa itu menjauh pergi.
Friday, March 28, 2008
Dunia Baru
Kisah semalam akan terus berlalu. Dia lupuskan dari benak ingatannya. Seolah ada harapan dan kehidupan baru yang ingin digapai oleh dia. Ya juga satu dunia baru berbekalkan tauladan dan pengalaman dari masa lampau. Itu intipati yang sangat berharga. Moga-moga akan jadi pedoman tatkala memerlukan.
Benar setiap yang pahit itu terselit jua yang manisnya. Pasti berkunjung saat bahagia. Insyaallah. Dia tetapkan hati dengan penuh yakin. Kerna nawaitu yang satu itu masih lagi menjadi azimatnya.
Syukur dia mengenali insan itu yang sangat besar jiwanya. Mereka ditakdirkan untuk berjumpa. Moga-moga berakhir dengan suatu kebaikan yang dicari. Dia akan terus mengorak langkah dengan kental, meski pelbagai onak dan duri yang menyelirati susur jalan kehidupan yang ditempuhinya. Kerna dia yakin ada insan itu yang sentiasa menemani bersama.
Thursday, March 27, 2008
Pengalaman Yang Mematangkan
Dia ambil postitif semua perkara. Itu pegangan dia sekarang. Ingin jauhi segala sengketa dan fikiran yang buruk. Ada perkara yang lebih dipentingkan dalam kehidupan dia. Ada azam dan cita-cita baru. Ya, perlu dia laksana dan buktikan. Insyaallah.
Pengalaman mengajar dia semua ini. Moga-moga bertambah matang dia. Ambil peluang untuk lebih memahami lagi kehidupan insan itu. Semakin mencabar nampaknya. Tidak mengapa. Dia ikhlas sahaja. Bersefahamanlah wahai dua insan. Moga kehidupan lebih bahagia dan gembira. Ameen.
Labels: luahan
Usah Dipinta Yang Buruk Itu Berlaku
Lalu dia mengambil sikap berdiam diri membiarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Mungkin ini adalah metodologi yang terbaik, daripada timbulnya adegan bertikam kata. Akhirnya keadaan menjadi semakin buruk dan tiada penyelesaian. Bukankah itu lebih mendatangkan sengsara. Namun dia bersedia apa jua yang berlaku di masa depan. Persiapan mengahadapi saat-saat yang tidak terjangka oleh dia sebelum ini.
Percaya, dia tetap sama. Dia tidak meminta sesuatu yang buruk akan berlaku. Usah meminta keburukan yang sedia tahu akan mengundang kehancuran dan kemusnahan. Melerai masalah bukan juga mudah. Persis menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Mungkin mereka yang menabur nista itu kurang senang dengan kebahagiaan yang dibina oleh insan lain. Mahu melihat kebahagiaan itu musnah gara-gara perasaan hasad dengki yang meraja. Tapi percayalah, dia tidak akan sesekali menjauh hati dan berhajat untuk mengiyakan semua perkara-perkara buruk itu terjadi.
Dia doakan sahaja Tuhan akan memaafkan mereka semua. Kerna dia juga manusia. Tidak mampu membalas semua perbuatan buruk mereka. Dia tidak sesekali berdendam dan berharap mereka semua segera menghentikan angkara ini. Itu lebih afdal.
Wednesday, March 26, 2008
Dia Adalah Dia
Dia syukur punya hati yang tulus. Sedari kecil diasuh oleh orang tuanya dengan sifat yang begitu. Meski dirinya bersedih dan diundang resah dia tetap lupakan itu semua demi kebaikan dan bahagia yang ingin dicari.
Apa jua yang terjadi dia tidak akan melupakan insan itu seumur hidupnya. Bagi dia, insan itu terlalu berharga buat diri dia. Walau ditakdirkan tidak lagi `bersama`, dia tidak akan sekali-kali melenyapkan ingatan pada insan itu. Setiap denyut nadinya mengalir bersama semangat itu. Dari mula hingga ke saat ini dan selamanya. Kerna hubungan itu sudah abadi dalam diri dia. Dia adalah dia. Mungkin tidak sama dengan yang lain.
Tuesday, March 25, 2008
Kesakitan
Lemah tubuh. Tidak mampu berbuat apa. Hanya mampu terbaring menunggu mentari pagi muncul. Aku semakin risau. Sakit ini tidak mengenal waktu. Sampai tiba waktunya aku akan lemah dan menderita kesakitan.
Labels: realiti
Empat Bulan
Dia muhasabah diri. Kekurangan yang terzahir bukan dipinta. Dia juga manusia biasa. Adakalanya tersalah perbuatan dan kata. Sekurang-kurangnya dia berusaha memperbaiki diri. Badai yang melanda dalam hubungan itu dia hadapi juga dengan kekuatan yang ada. Berkat kesabaran dia masih bertahan. Apa jua yang mengundang kecewa dia simpan dan biarkan berlalu dan terus berlalu.
Dia hanya mampu berdoa dan berserah. Hati dia berbisik rindu. Sayangnya juga tiada sempadan dan berbelah bagi. Mohon angin lalu sampaikan ingatan tulus ikhlas. Adakah masih berbalas kasih itu? Dia menanti jawapan yang penuh bererti.
Labels: realiti
Monday, March 24, 2008
Hari-Hari Berlalu
Cuti
Dengan izin Allah jua, aku lega sekarang. Lapang sudah dada dan fikiran. Sudah lama aku tidak gembira seperti ini. Kalau tidak aku hanya mampu bermurung sahaja. Duduk dirumah mengurung diri. Mahu keluar beriadah pun tidak selesa.
Semalam berkesempatan berjumpa teman-teman lama. Terisi juga waktu senggang dengan mereka. Peluang ini aku berkongsi cerita dan masalah. Rasa lepas juga beban di dada. Ada juga teman yang memahami.
Syukur sekurang-kurangnya aku hampir sihat. Mahu terus berubat dan tawakal kepada Allah.
Friday, March 21, 2008
Kecewa
Entahlah, dia tidak mampu lagi bertahan. Semakin hari pun seakan menjauh. Hanya dia sahaja masih mengharap dan masih seperti dulu. Satu persatu harapan dia gugur dari genggaman. Dia tidak mahu mengharap apa-apa lagi. Baginya semuanya telah berakhir. Seakan sia-sia sahaja pengorbanan dia selama ini. Jika ini balasan yang dia terima.
Wednesday, March 19, 2008
Pulang
Semenjak berpindah ke rumah ini, belum sempat dia menjejak kaki. Kami berempat semuanya di rumah ini. Teman sama-sama belajar di Borneo dahulu. Sememangnya kami rapat, saling mengenali. Tidak sangka kami tinggal sebumbung lagi. Begitulah kalau sudah ditakdirkan. Mereka ini muda lagi dari aku. Sudah ku anggap seperti adik aku sendiri semuanya.
Katanya hanya seminggu sahaja di rumah ini. Minggu depan ada tugasan lagi di luar negara. Kemungkinan tiga bulan lamanya. Aduh, kesian dia. ”Tidak mengapa masih muda, masa ini lah mahu bekerja sepuas-puasnya”, semangat dari aku. Dia gelak dan mengiyakan sahaja.
Tuesday, March 18, 2008
Sakit dan Lemah
Hari ini masuk hari kelima. Kesan sakit yang dirasai, badan terasa lemah dan sangat penat. Sudah tiga kali aku bungkam kerana pitam. Pagi tadi sekali lagi. Nasib rebah beralas bantal. Pandangan terasa gelap, kepala ku berpinar hebat. Entah mengapa kian menjadi-jadi kesakitan ini. Aku gagahkan juga untuk hidup seperti biasa. Tidak mahu ku turutkan sangat perasaan lemah itu. Kelak akan menjadi radang memakan diri.
Aku kerja juga hari ini. Walaupun sakit itu semakin memaksa diri. Mohon Tuhan beri kekuatan.
Monday, March 17, 2008
Hasad Dengki
Dia doa sahaja pada Tuhan. Dijauhkan perasaan itu dan orang-orang yang bersifat demikian.
Saturday, March 15, 2008
Rindu Belaian
Selama ini ingin ku ngerti sendiri
Entah apa saja yang kumahukan
Tiada petunjuk jalan
Biarpun apa terjadi semua kutempuhi
Mahunya biarku merasa dari mula
Biarkan semua cerita berlalu
Secara tiba-tiba
Inginku rasakan lagi semua kisah berlalu
Tak mungkin
Aku ingin merasakan belaian
Seperti yang kuidamkan
Di mana belaian
Yang kuimpikan berkunjung tiba
Seketika atau selamanya
Janji terukir antara dua hati
Hanya dibibir tanpa disedari
Rindu belaian
Di masa kesunyian
Mencengkam diri
Terdampar sepi
Bagaimanakah rasanya
Kau di hati hanya untuk sekali lagi
Friday, March 14, 2008
Dia Mohon
Entahlah biar masa yang menentukan. Adakalanya rasa terkilan dan tersisih juga. Saat ini dia berdoa sahaja. Ya, hidup tidak selamanya bahagia. Umpama putaran roda kisahnya. Sekarang ini berada di bawah. Sudah tentu merasa kecewa. Mahu bangun kembali menggapai puncak. Dia mahu hidup gembira dan bahagia seperti dulu. Perlu pengorbanan dan usaha yang lebih. Yang penting tetapkan hati. Yakin dengan niat yang ikhlas.
Cuma satu saja pinta dia. Janganlah merasa jemu dan menjauh diri. Tautlah kembali apa jua yang terlerai. Dengan harapan hidup lebih ceria. Hubungan saling memerlukan. Bukalah pintu kemafaan seluas-luasnya. Moga ada kebahagiaan dan keberkatan menanti. Boleh kan? Terima kasih.
Minta pada Tuhan. Insyaallah Dia membantu.
Nya dan Aku
Kelibatnya aku tunggu,
Gurau nakalnya aku tersipu,
Mesranya aku terharu.
Gembiranya aku bahagia,
Tawanya aku ceria,
Sedihnya aku berduka,
Sakitnya aku nestapa.
Nasihatnya aku teladani,
Amarahnya aku menyepi,
Hatinya aku miliki,
Kasih sayangnya aku rasai.
Dirinya aku hormati,
Prinsipnya aku patuhi,
Karismanya aku kagumi,
Jiwanya aku yakini.
*Musim berlalu merubah situasi. Ingin rasai saat bahagia yang pernah dimiliki. Bisakah berulang kembali? Mohon dengan harapan hari ini.
Dekat
Moga-moga dipermudahkan segala usaha. Tawakal pada yang Esa.
Thursday, March 13, 2008
Mohon
Hanya DIA tempat mengadu. Sudahi bacaan itu dengan doa dan hajat. Mohon terhapus segala noda hitam dalam hati. Tertunduk menahan gelora rasa. Airmata tertahan, saat untuk dijatuhkan. Tumpah jua membasahi pipi.
Wednesday, March 12, 2008
Hati Ini
Sudah puas ku biaskan sinar pedih itu dari relung hati ini. Dengan harapan ia akan pergi jauh, hilang dan tidak diminta untuk kembali lagi. Namun apakan daya ada jua yang tidak tertangkis, tertusuk dalam ruang yang paling dalam. Kesannya amat memeritkan. Berdarah dan berdarah kembali.
Hati mesti berjiwa besar. Kental dan utuh dalam apa jua keadaan. Tapi apalah daya manusia. Ada kelemahan yang tersembunyi. Ku lawan takdir ini sepuasnya dalam meniti setiap pergolakan hidup yang berjurang dan berliku. Tersadung jua ada ketikanya. Lemah dan lumpuh bila tiba masanya. Ku usaha juga mengheret meneruskan sisa perjalanan. Begitulah silih berganti seakan tidak mahu berakhir. Tahankah diuji?
Kisah yang masih panjang ini akan terus menyelusuri hidup. Yang pasti tiada seorang pun yang akan senang untuk melihat dan memandang. Biar diri ini sahaja yang menggalas beban derita itu. Supaya tiada siapa yang jemu dan rimas di sebalik kepayahan yang melanda. Bukan ku raih simpati atau meminta belas. Namun meminta biarlah pada yang sudi.
Monday, March 10, 2008
Hatinya dan Hatiku
Kedukaan yang ku buang jauh dari sudut hati
Pada waktu yang telah ku pinggirkan
Kesepian kerinduan yang datang silih berganti
Antara hatinya dan hatiku
Manakah yang ku rasakan perlu
Aku keliru dan masa terusan memburu
Membuat pilihan antara rindu dan sendu
Pilih hatinya hatiku terkecewa
Kerana kedukaan yang ku buang pastikan bertamu
Pilih hatiku hatinya tersirna
Dan kesepian dan kerinduan terusan memburu......
Maaf Tuan
Usah diungkit permasalahan lalu. Yang sudah terjadi biarkan jadi pengajaran dan pengalaman. Tiada guna lagi sesalan. Jangan ianya menghimpit diri tuan. Kembalinya tuan di tanah ini, sudah pasti mahu menyudahkan perkara yang tertangguh sekian lamanya. Maaf sudah terjawab saat terakhir dia melangkah pergi meninggalkan bumi perajurit itu. Dia harap tuan mengerti.
Tiada apa dipinta, moga sukses dengan kerjaya tuan. Negara memerlukan kepakaran tuan dalam menjaga keamanan negara. Itu yang perlu diutamakan. Hubungan dia dengan tuan biarlah sekadar sahabat. Sekali lagi maaf. Dia tidak boleh menjanjikan kebahagiaan seperti dulu. Sekurang-kurangnya tuan harus bersyukur, dia sudi menerima lagi diri tuan. Dia nekad dengan keputusan ini.
Sunday, March 9, 2008
Panggilan
Pastikah kata-kata dia itu. Sampai saat ini aku masih berfikir realitinya. Macam-macam soalan pula yang ditanyakan oleh dia pada sms kemudiannya. Sengaja aku sembunyikan status diriku sebenarnya. Bukan apa aku tidak pasti siapa dia. Berikutan panggilan misteri bulan lepas buat aku berhati-hati. Aku tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku.
Macam-macam perkara aneh berlaku sekarang ini. Aku sendiri menjadi bingung. Biarlah tiada kepentingan juga bila difikirkan kembali.
Monday, March 3, 2008
Manual
Begitulah kisah. Aku berjaya memandu kereta manual setelah tiga tahun tidak memijak pedal clutch. Semenjak membeli kereta yang aku pakai sekarang (auto car) tidak pernah-pernah aku mencuba untuk memandu kereta manual sekalipun. Memang sengaja aku membeli kereta automatik gearnya supaya memudahkan perjalanan. Sengaja juga aku menolak untuk memandu kereta manual dalam tempoh itu, dan kesannya aku kekok dan tidak berani bila dipinta untuk memandu.
Permulaannya agak sedikit kalut. Sudah lupa bagaimana mahu mengendalikan gear mengikut kelajuan. Begitu juga mahu mengimbangi pedal clutch dan gear sekali. Menitik keringat kerana cemas. Tetapi Alhamdullillah bila sudah serasi, semuanya bergerak lancar. Tiada apa yang perlu dibimbangkan, malah bertambah yakin selepas itu. Bagi sesetengah orang, ini perkara biasa dan remeh. Tiada apa yang perlu di kisahkan. Tetapi bagi aku, ini pengalaman yang sangat manis dan berharga.
Kesan daripada pengalaman ini, aku berpeluang memandu kereta baru abang aku (Nissan Grand Livina). Berjaya aku meyakinkan dia yang aku boleh memandu kereta manual juga akhirnya. Seronok bukan?
*Pengajaran : Jangan dilupakan barang yang lama bila sudah beroleh yang baru. Kelak suatu hari nanti yang lama itu juga yang dicari dan diguna kembali. Sudah menjadi lumrah kehidupan.