Friday, March 28, 2008

Dunia Baru

0 comments


Ada semangat yang sangat luar biasa menjelma di hati dia tatkala bingkas kelopak mata dari tidur subuh tadi. Perasaan yang belum pernah dirasainya sebelum ini. Sangat kuat, segar dan mendalam. Dia yakin itu adalah kata hatinya yang sangat benar, ikhlas dan tulus. Tiada penafian tentang ini, kerana itulah kebenaran yang dia akui. Dipanjat doa sejahtera hendaknya perjalanan hidup insan itu. Amalan biasa yang dia lakukan tanpa jemu. Menitis jernih air mata tanpa diminta. Sebak menahan rasa penuh pengertian.

Kisah semalam akan terus berlalu. Dia lupuskan dari benak ingatannya. Seolah ada harapan dan kehidupan baru yang ingin digapai oleh dia. Ya juga satu dunia baru berbekalkan tauladan dan pengalaman dari masa lampau. Itu intipati yang sangat berharga. Moga-moga akan jadi pedoman tatkala memerlukan.

Benar setiap yang pahit itu terselit jua yang manisnya. Pasti berkunjung saat bahagia. Insyaallah. Dia tetapkan hati dengan penuh yakin. Kerna nawaitu yang satu itu masih lagi menjadi azimatnya.

Syukur dia mengenali insan itu yang sangat besar jiwanya. Mereka ditakdirkan untuk berjumpa. Moga-moga berakhir dengan suatu kebaikan yang dicari. Dia akan terus mengorak langkah dengan kental, meski pelbagai onak dan duri yang menyelirati susur jalan kehidupan yang ditempuhinya. Kerna dia yakin ada insan itu yang sentiasa menemani bersama.

Thursday, March 27, 2008

Pengalaman Yang Mematangkan

0 comments

Tulus dari hati dia memohon maaf. Bukan sengketa yang dipinta. Janganlah merasa sangsi luahan dia. Dia mahu yang terbaik sahaja. Rasanya sudah ada sedikit perubahan pada dia. Mungkin itu belum cukup lagi. Usaha lagi sehingga jaya.

Dia ambil postitif semua perkara. Itu pegangan dia sekarang. Ingin jauhi segala sengketa dan fikiran yang buruk. Ada perkara yang lebih dipentingkan dalam kehidupan dia. Ada azam dan cita-cita baru. Ya, perlu dia laksana dan buktikan. Insyaallah.

Pengalaman mengajar dia semua ini. Moga-moga bertambah matang dia. Ambil peluang untuk lebih memahami lagi kehidupan insan itu. Semakin mencabar nampaknya. Tidak mengapa. Dia ikhlas sahaja. Bersefahamanlah wahai dua insan. Moga kehidupan lebih bahagia dan gembira. Ameen.

Usah Dipinta Yang Buruk Itu Berlaku

0 comments

Dia sendiri rasa tertekan khabar-khabar yang disampaikan. Tahu semua itu adalah nista dan dusta belaka. Tertancap utuh kepercayaan dia terhadap insan itu lagi. Namun apa yang berlaku hari ini seolah ada kelangsungan dari khabar-khabar itu. Buat dia tidak pasti akan kebenaran disebaliknya. Perasaan dia berkelana.

Lalu dia mengambil sikap berdiam diri membiarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Mungkin ini adalah metodologi yang terbaik, daripada timbulnya adegan bertikam kata. Akhirnya keadaan menjadi semakin buruk dan tiada penyelesaian. Bukankah itu lebih mendatangkan sengsara. Namun dia bersedia apa jua yang berlaku di masa depan. Persiapan mengahadapi saat-saat yang tidak terjangka oleh dia sebelum ini.

Percaya, dia tetap sama. Dia tidak meminta sesuatu yang buruk akan berlaku. Usah meminta keburukan yang sedia tahu akan mengundang kehancuran dan kemusnahan. Melerai masalah bukan juga mudah. Persis menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Mungkin mereka yang menabur nista itu kurang senang dengan kebahagiaan yang dibina oleh insan lain. Mahu melihat kebahagiaan itu musnah gara-gara perasaan hasad dengki yang meraja. Tapi percayalah, dia tidak akan sesekali menjauh hati dan berhajat untuk mengiyakan semua perkara-perkara buruk itu terjadi.

Dia doakan sahaja Tuhan akan memaafkan mereka semua. Kerna dia juga manusia. Tidak mampu membalas semua perbuatan buruk mereka. Dia tidak sesekali berdendam dan berharap mereka semua segera menghentikan angkara ini. Itu lebih afdal.