Friday, February 22, 2008

Coretan di 'Rumah' Ini

1 comments


'Rumah' ini bukannya medan bertikam kata. Jauh sekali mewujudkan angkara. Tidak sama sekali. Aku gembira dengan 'rumah' ku ini. Ku paksikan dengan kejujuran dan keikhlasan. Dengan niat ku bukakan segala pintu permasalahan, tanpa bersuara apa-apa. Ya, ku usaikan dengan coretan buruk ini dengan harapan dapat melegakan hati sendiri.

Akui, meniti perjalanan yang sukar masa ini. Ku sambut dengan tangan terbuka. Yakin, akan membuahkan kematangan suatu hari nanti. Meski tersangkak dan teroleng-oleng dalam melawan segala musibah ini, aku bersyukur punya teman, sahabat, 'dia', dan keluarga yang sentiasa bersama. Moga Allah merahmati mereka dunia dan akhirat.

Perasaan ku hari ini Alhamdulillah tenang. Tidak mahu mengharap apa-apa lagi. Ku biarkan sahaja apa yang terjadi. Bukan maksud ku mengalah. Ku bina benteng kekuatan dari mereka-mereka di sekitaran ku. Biarpun masih terlihat rompong dan lompongnya, ku utuhkan kembali dengan doa dan tawakal.

Ku titip pesan untuk diri ku sendiri. Itu tanggungjawab dan kewajipan. Hidup perlu perubahan. Semakin banyak perubahan, semakin banyak juga hal yang dapat diselongkar. Depani hidup ini, meski diri dipasung penat dan upaya cekal. Yang pasti dugaannya bukan sedikit jua. Itulah takdir Tuhan.

* Buat teman di Ijok bersabar jua menempuh dugaan. Ku doakan kesihatan mu beransur pulih. Ameen.

Thursday, February 21, 2008

Tegas

1 comments

Sudah malas aku fikirkan. Kian difikir bertambah berat kepala ini menanggung macam-macam. Aku mahu tenang-tenang sahaja saat ini. Apa pun ujian ku terima, biarlah. Hati ku semakin keras. Lara nan lara. Silih berganti pun. Sampai bila pun tidak akan kunjung padam.

Penjelasan ku cukup terang sebelum ini. Sudah ku tegaskan jika insiden itu berlaku lagi untuk kedua kalinya, aku sedia menjauh diri. Tidak mahu aku berdepan dengan situasi itu. Cukup menyakitkan. Memang perit dan pedih. Tiada apa lagi yang boleh aku harapkan. Seolah tiada kejujuran dalam dunia ini. Kepercayaan ku luntur. Aku tidak kesah jika yang 'lain'. Cuma yang 'satu' ini aku cukup-cukup sensitif. Susah untuk aku terima.

Dahulunya hati ini cukup sedih diperlakukan begitu. Tersepit dan terinaya. Nasib hati ini masih lembut menerima semuanya. Parut lukanya masih ada. Jika berdarah kembali sukar disembuhkan. Begitulah aku. Pengalaman mengajar aku dengan semua ini. Siapa yang mengalaminya pasti merasa terkilan teramat sangat. Langsung tidak terduga.

Tiada guna lagi berkorban untuk hal ini. Yang menanggungnya aku sendiri. Sudah nasib badan.
* Yang sudah tu sudah, nangis tidak berlagu lagi.. - Imran Ajmain


Wednesday, February 20, 2008

Resah

0 comments


Kata-kata 'dia' sungguh terkesan. Tunduk aku tanpa bicara. Mendengar tiap butir katanya. Sesungguhnya ada kebenaran dan fahami segala pandangan tegasnya. Aku mengiyakan sahaja. Aku semat satu-satu sehingga menjadi penawar yang mujarab. Ubat bagi keresahan ku.

Semalaman aku berfikir tentang masa depan hubungan ini. Hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan. Dari ketulusan hati yang mendalam. Sukar untuk aku menidakkan perkara ini. Sudah ku tebarkan kasih sayang sepenuhnya tanpa berbelah bagi. Bagi ku itu pengorbanan sejati.

Biar berjauhan dan bertahun lama sekalipun, hati ini tetap sama. Tidak akan berpaling walau sedikitpun. Demi ukhwah ini aku abadikan segalanya. Meski aku keseorangan sahaja meneruskan perjalanan. Tanpa 'dia' disisi menemani sunyi hidupku.

Resah yang meraja ku singkirkan perlahan-lahan dari relung hati. Tika ini jiwaku kembali tenang. Setenang laut yang sedang surut airnya. Tidak mahu lagi menyongsang arus deras, karam dalam gelombang yang ku cipta sendiri. Mohon berkekalan selamanya begini. Amin..

Aku bahagia memiliki 'dia'. Mulia hatinya. Pada dia janganlah menjauh hati disebabkan insiden ini. Ku cuba sedaya upaya memperbaiki keadaan. InsyAllah 2-3 hari ini akan pulih seperti biasa. Ya, aku usaha dan tawakal.


Aku suka lirik lagu ni..” Harus Ku Teruskan’- Aliff Aziz.

Kanan dan kiri suramnya terasa cuba fahami apa yang terjadi

Kanan dan kiri suramnya terasa cuba fahami apa yang terjadi
Tidak tertangggung beban di alami mengapa terjadi sebegini

Tiada guna bertanya semua yang terjadi
Janjiku kepada diri hidup harus aku teruskan

Tuhan berikan sinar harapan hembuskan suatu kekuatan
Ku mohon jauhkan dari kegelapan ini agar bisa aku teruskan

Walaupun lelah untuk menghadapi mengalah bukan jawapan yang ada
Walaupun berat segala di dada ku pasti mengharungi ke akhirnya

Tiada guna bertanya semua yang terjadi
Janjiku kepada diri hidup harus aku teruskan

Tuhan berikan sinar harapan hembuskan suatu kekuatan
Ku hanya insan yag kerdil di dunia ini tunjukkan ku jalan hadapan

Genggami tangan ini oh teman disaat aku memerlukan
Dan bila waktu untuk melangkah pergi
Berikanlah daku cahaya tabahkan jiwaku oh Tuhan



Semangat bagi aku. Aku ingin gumbira seperti sedia kala. Pergilah wahai duka. Jangan kau bertandang lagi dalam diri ini. Huhhh..