Thursday, March 27, 2008

Pengalaman Yang Mematangkan

0 comments

Tulus dari hati dia memohon maaf. Bukan sengketa yang dipinta. Janganlah merasa sangsi luahan dia. Dia mahu yang terbaik sahaja. Rasanya sudah ada sedikit perubahan pada dia. Mungkin itu belum cukup lagi. Usaha lagi sehingga jaya.

Dia ambil postitif semua perkara. Itu pegangan dia sekarang. Ingin jauhi segala sengketa dan fikiran yang buruk. Ada perkara yang lebih dipentingkan dalam kehidupan dia. Ada azam dan cita-cita baru. Ya, perlu dia laksana dan buktikan. Insyaallah.

Pengalaman mengajar dia semua ini. Moga-moga bertambah matang dia. Ambil peluang untuk lebih memahami lagi kehidupan insan itu. Semakin mencabar nampaknya. Tidak mengapa. Dia ikhlas sahaja. Bersefahamanlah wahai dua insan. Moga kehidupan lebih bahagia dan gembira. Ameen.

Usah Dipinta Yang Buruk Itu Berlaku

0 comments

Dia sendiri rasa tertekan khabar-khabar yang disampaikan. Tahu semua itu adalah nista dan dusta belaka. Tertancap utuh kepercayaan dia terhadap insan itu lagi. Namun apa yang berlaku hari ini seolah ada kelangsungan dari khabar-khabar itu. Buat dia tidak pasti akan kebenaran disebaliknya. Perasaan dia berkelana.

Lalu dia mengambil sikap berdiam diri membiarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Mungkin ini adalah metodologi yang terbaik, daripada timbulnya adegan bertikam kata. Akhirnya keadaan menjadi semakin buruk dan tiada penyelesaian. Bukankah itu lebih mendatangkan sengsara. Namun dia bersedia apa jua yang berlaku di masa depan. Persiapan mengahadapi saat-saat yang tidak terjangka oleh dia sebelum ini.

Percaya, dia tetap sama. Dia tidak meminta sesuatu yang buruk akan berlaku. Usah meminta keburukan yang sedia tahu akan mengundang kehancuran dan kemusnahan. Melerai masalah bukan juga mudah. Persis menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Mungkin mereka yang menabur nista itu kurang senang dengan kebahagiaan yang dibina oleh insan lain. Mahu melihat kebahagiaan itu musnah gara-gara perasaan hasad dengki yang meraja. Tapi percayalah, dia tidak akan sesekali menjauh hati dan berhajat untuk mengiyakan semua perkara-perkara buruk itu terjadi.

Dia doakan sahaja Tuhan akan memaafkan mereka semua. Kerna dia juga manusia. Tidak mampu membalas semua perbuatan buruk mereka. Dia tidak sesekali berdendam dan berharap mereka semua segera menghentikan angkara ini. Itu lebih afdal.

Wednesday, March 26, 2008

Dia Adalah Dia

0 comments

Menatap sekali lagi wajah itu, dia benar-benar rasa tenang. Meski hatinya sarat menanggung bermacam gelodak rasa. Kerna banyak khabar yang diketahuinya sejak akhir-akhir ini. Malas dia wujudkan perasaan itu dihadapannya. Dia mahu menikmati saat itu dalam keadaan yang gembira.

Dia syukur punya hati yang tulus. Sedari kecil diasuh oleh orang tuanya dengan sifat yang begitu. Meski dirinya bersedih dan diundang resah dia tetap lupakan itu semua demi kebaikan dan bahagia yang ingin dicari.

Apa jua yang terjadi dia tidak akan melupakan insan itu seumur hidupnya. Bagi dia, insan itu terlalu berharga buat diri dia. Walau ditakdirkan tidak lagi `bersama`, dia tidak akan sekali-kali melenyapkan ingatan pada insan itu. Setiap denyut nadinya mengalir bersama semangat itu. Dari mula hingga ke saat ini dan selamanya. Kerna hubungan itu sudah abadi dalam diri dia. Dia adalah dia. Mungkin tidak sama dengan yang lain.